De Gea (kanan) terus mendapat kepercayaan Hierro. FOTO AFP/EPA-EFE
De Gea (kanan) terus mendapat kepercayaan Hierro. FOTO AFP/EPA-EFE
Reuters

KRASNODAR, Russia: Penjaga gol Sepanyol, David de Gea mendapat sokongan penuh jurulatih Fernando Hierro apabila terus diberi kepercayaan untuk diturunkan bagi perlawanan menentang Iran, Rabu ini.

De Gea dikritik hebat susulan prestasinya ketika perlawanan pertama Piala Dunia menentang Portugal yang berakhir seri 3-3, Jumaat lalu.

Penjaga gol Manchester United itu membiarkan rembatan Cristiano Ronaldo melepasi tangannya untuk gol kedua Portugal lantas dikritik di negara kelahirannya selain berada di posisi yang salah ketika penyerang Real Madrid itu meledak gol ketiga.

“Kami meletakkan kepercayaan penuh terhadapnya, saya tahu dengan jelas daripada pengalaman yang pemain perlu merasa yakin, bukan saja pada tempoh yang baik,” kata jurulatih sementara, Hierro kepada wartawan di kem latihan di sini.

De Gea berulang kali melakukan aksi menyelamat hebat bagi membantu United pada musim lalu sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kelab.

Tetapi dia sudah melakukan tiga kesalahan dalam empat penampilan bersama Sepanyol apabila turut melepaskan gol mudah ketika menentang Switzerland dan Argentina.

“Dia mengharungi tempoh yang sukar tetapi kamu boleh mengatasinya dengan masa. Penjaga gol mempunyai psikologi yang istimewa, dan kadang kala reaksi menerusi aksi tidak mencukupi. De Gea perlukan masa dan oksigen.

“Semua pemain memerlukan keyakinan dan saya akan beri kepadanya. De Gea mengambil segala-galanya dengan tenang, kami sudah biasa dengan perdebatan kerana ia adalah sebahagian daripada kerja kami,” kata Hierro.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 10:12 PM