DAVID DE GEA
DAVID DE GEA
Reuters

KRASNODAR: Penjaga gol Sepanyol, David de Gea bekerja keras dan mendapat sokongan penuh rakan sepasukan susulan kritikan media terhadap prestasinya pada Piala Dunia, menurut pemain tengah Thiago Alcantara.

De Gea melakukan kesilapan besar ketika seri 3-3 dengan Portugal apabila rembatan kencang Cristiano Ronaldo menggegar gawang sesudah terlepas daripada tangkapannya, mencetuskan persoalan mengenai statusnya sebagai penjaga gol nombor satu.

Buat kali pertama penjaga gol Manchester United itu menyelamatkan percubaan lawan ketika seri 2-2 dengan Maghribi pada aksi terakhir kumpulan namun kritikan berterusan walaupun dia tidak lagi melakukan kesilapan besar sejak aksi bertemu Portugal.

“Ia kesilapan paling malang di tengah padang namun jika anda melihat prestasi David di Manchester United serta perlawanan lain bersama Sepanyol, anda mampu melihatnya sebagai penjaga gol luar biasa,” kata Thiago.

“Media perlu melihat diri sendiri dan sedar dia pemain yang hebat. Lihat sudah berapa kali dia dinamakan penjaga gol terbaik di Liga Perdana. Dia berusaha keras dan keyakinan kami kepadanya tinggi.”

Sepanyol akan bertemu tuan rumah, Russia Ahad ini selepas muncul juara Kumpulan B walaupun dengan persembahan kurang memberangsangkan serta kelemahan pertahanan.

Pemecatan jurulatih Julen Lopetegui yang digantikan dengan Fernando Hierro sebelum bermula Piala Dunia turut mencetuskan situasi kurang stabil dalam pasukan.

Thiago tidak menafikan pemecatan mengejut Lopetegui yang sudah lama bersama pasukan memberi kesan namun berkata, Hierro memberikan impak positif selain menegaskan Sepanyol masih percaya terhadap kemampuan mereka.

“Ia memberi kesan kepada kami namun Fernando sudah memainkan peranan penting dan mempamerkan tahapnya dalam perlawanan dan sesi latihan. Beliau memberi ketenangan kepada kami dan keyakinan menghadapi perlawanan,” jelas Thiago.

“Kami percaya mampu beraksi pada tahap seperti sebelum ini. Kami perlu meningkat namun boleh bermula dengan mendapat sedikit keyakinan. Kami sudah mempunyai semua yang diperlukan. Kami perlu percaya kepada rakan sepasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 12:21 AM