Prestasi De Gea mengecewakan sejak Piala Dunia. FOTO REUTERS
Prestasi De Gea mengecewakan sejak Piala Dunia. FOTO REUTERS
Reuters

MADRID: Tekanan terhadap penjaga gol Sepanyol, David de Gea terus meningkat dengan peminat dan media menggesanya agar digugurkan susulan kekalahan 2-3 kepada Croatia dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah.

De Gea masih memakai jersi nombor satu Sepanyol sejak Euro 2016 tetapi bergelut untuk mengulangi prestasi hebatnya di Manchester United bersama skuad kebangsaan dan dikritik atas kegagalannya menghalang gol pembukaan Croatia, Andrej Kramaric pada aksi di Zagreb, awal pagi tadi.

“Croatia melakukan apa yang kebanyakan orang pernah lakukan terhadap De Gea sejak beberapa tahun lalu: Menjaringkan gol yang cantik,” tulis wartawan bola sepak Sepanyol, Diego Torres dalam akhbar El Pais.

Tomas Roncero dari akhbar sukan harian AS yang selama ini sering mengkritik De Gea sejak penyingkiran mengecewakan Sepanyol di peringkat 16 terakhir Piala Dunia pada Julai lalu berkata sudah tiba masanya untuk berubah.

“Kita semua lihat apa yang berlaku di Piala Dunia dan tiada apa yang berubah,” tulis Roncero. “Dia hanya berdiri di sana, tidak bergerak ke depan bagi dua gol awal, lelaki ini mempunyai ketinggian dua meter!! Dia patut menepis bola untuk sepakan sudut dan bukannya ke arah pemain.”

De Gea, 28, disenarai dalam pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris sejak empat musim lalu dan pemain terbaik United pada musim lalu tetapi seperti kebanyakan pemain Manchester ketika ini, dia bergelut.

United ketika ini menghuni tangga kelapan liga selepas mengumpul 20 mata, ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu yang juga seteru tetangga, Manchester City.

Kelab itu sudah melepaskan 21 gol dalam 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini dengan De Gea pada musim lalu hanya melepaskan 28 gol dalam 37 penampilan liga.

Penurunan prestasi De Gea tampak akan memberi peluang buat Kepa Arrizabalaga yang menyertai Chelsea dengan nilai 80 juta euro (RM381.55 juta) dari Athletico Bilbao musim ini sekali gus muncul penjaga gol termahal dunia.

Kepa hanya melepaskan lapan gol sepanjang 12 penampilan dalam aksi liga bersama Chelsea yang masih belum tewas pada kancah elit domestik itu pada musim ini.

Pemain berusia 24 tahun itu sudah membuat dua penampilan bersama skuad kebangsaan dengan kali terakhir pada bulan lalu ketika Sepanyol menewaskan Wales 4-1 bulan lalu.

Sepanyol akan menanti kunjungan Bosnia pada aksi persahabatan antarabangsa Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 11:48 PM