BROOKS Koepka meraikan kemenangannya di kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS). FOTO AFP
BROOKS Koepka meraikan kemenangannya di kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS). FOTO AFP
AFP

BROOKS Koepka menjadi pemain pertama dalam tempoh tiga dekad mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas mencatat pusingan 68 di Shinnecock Hill untuk menewaskan Tommy Fleetwood dengan satu pukulan.

Setahun selepas melakar kemenangan dengan catatan 16 bawah par keseluruhan di Erin Hills, Koepka membuang rasa gemuruh di sembilan lubang terakhir untuk memastikan kemenangan dengan catatan satu atas par 281.

“Tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan saya sekarang.”

“Saya berusaha keras untuk bangkit daripada tujuh atas par (pada Jumaat) dan melakukannya. Ia amat istimewa,” kata Koepka.

Pemain ranking kesembilan dunia itu adalah pemain pertama memenangi gelaran Terbuka AS dua kali berturut-turut sejak Curtis Strange melakukannya pada tahun 1988-89.

Sehari selepas catatan kurang memberangsangkan di lapangan yang permukaan green semakin kering, Persatuan Golf AS mengakui lapangan itu tidak terkawal, dan menambah kelembapan serta meletakkan pin di kedudukan lebih mudah.

Pemain ranking ke-12 dari England, Fleetwood menggunakan kesempatan itu untuk menyamai rekod pusingan terendah Terbuka AS dengan tujuh bawah par 63 dan keseluruhan dua bawah par 282.

Pemain nombor satu dunia Dustin Johnson yang turun dalam satu kumpulan dengan Koepka, di tempat ketiga selepas mencatat pusingan par 70 dan keseluruhan 283. - AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 9:04 AM