PRESIDEN Persatuan Bolasepak Mexico, Decio de Maria berucap ketika pengumuman Mexico, Kanada dan AS sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2026. -Foto EPA
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Mexico, Decio de Maria berucap ketika pengumuman Mexico, Kanada dan AS sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2026. -Foto EPA
AFP/Reuters

AMERIKA Syarikat, Mexico dan Kanada memenangi hak untuk menjadi hos Piala Dunia 2026 selepas mudah mengatasi Maghribi dalam undian kalangan negara anggota FIFA, hari ini.

Bidaan bersama Amerika Utara itu menerima 134 daripada 203 undian, manakala Maghribi mendapat 65 undian pada Kongres FIFA di Moscow sehari sebelum pusingan akhir Piala Dunia 2018 bermula.

Acara terulung bola sepak dunia itu akan kembali ke benua Amerika Utara buat kali pertama sejak 1994 apabila AS menjadi hos kejohanan itu.

Ketua bidaan Carlos Cordeiro berkata, pasukannya “teruja dengan kepercayaan rakan kami dalam keluarga FIFA” dan kejohanan itu berpeluang meletakkan bola sepak “di laluan baru dan kukuh bagi generasi akan datang.”

Ia Piala Dunia pertama yang akan diperbesarkan kepada 48 pasukan, mencetus cabaran logistik buat tuan rumah.

Presiden FIFA, Gianni Infantino dipercayai menyokong kuat bidaan Amerika Utara di belakang tabir kerana tiga negara itu menyebelahinya pada 2016 apabila beliau mengambil alih selepas era korupsi berakhir di bawah pimpinan Sepp Blatter.

Daripada 80 perlawanan, 10 daripadanya akan diadakan di Kanada, 10 di Mexico dan 60 di AS dengan perlawanan akhir di Stadium MetLife di New Jersey, gelanggang pasukan NFL, New York Giants dan New York Jets.

“Terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami menganjurkan Piala Dunia FIFA pada 2026,” kata Cordiero, presiden Persekutuan Bolasepak AS kepada Kongres.

“Hari ini hanya bola sepak menjadi pemenang.”

AS sebelum ini menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 1994 manakala Mexico hos pada 1970 dan 1986. Kanada tidak pernah menganjurkan Piala Dunia lelaki tetapi mereka menjadi hos kejohanan wanita pada 2015.

Piala Dunia 1994 di AS mencatat rekod kehadiran penonton terbanyak dalam sejarah dengan hampir 3.6 juta penonton menyaksikan hanya 52 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 8:19 PM