PEMAIN Kedah, Mohd Syazwan Zainon (kiri) cuba menghalang pemain Kelantan, Cassio Francisco De Jesus  pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid
PEMAIN Kedah, Mohd Syazwan Zainon (kiri) cuba menghalang pemain Kelantan, Cassio Francisco De Jesus pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail

 

KELAB Penyokong Jaguh Utara (JUFC) meluahkan keresahan terhadap prestasi terkini pasukan Kedah yang gagal meneruskan rentak konsisten dalam dua perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, baru-baru ini.

Penasihat JUFC Azman Ahmad berkata, dua kekalahan berturut turut di laman sendiri ketika bertemu Melaka United (2-0) dan Kelantan (2-1) menjejaskan reputasi Kedah selaku pasukan yang memiliki gelaran juara sejak beberapa musim lalu.

"Kami akur kemungkinan keletihan melanda skuad Kedah, namun apa yang kami mahu adalah sikap dan mentaliti pemain perlu lebih fokus serta tidak memandang mudah pada mana mana perlawanan sama ada  membabitkan pasukan dari kelompok atasan mahupun bawahan,” kata Azman.

"Kami menggesa pemain mengubah sikap dan mentaliti supaya tidak memandang mudah setiap pasukan yang berada dalam Liga Super kerana semua pasukan mampu menjadi juara.

"Jika semua pemain menganggap pasukan yang akan ditentang itu sebagai calon juara,  maka sudah pasti pemain akan turun beraksi dengan penampilan 100 peratus, sebagai contoh,  kenapa kita boleh menang dengan Selangor 4-0, kita boleh menang dengan Pahang 2-0 dan kita boleh seri 1-1 dengan Terengganu?”

Azman pada masa sama merayu kepada semua peminat Lang Merah supaya tidak mengecam mana-mana pihak sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada jurulatih dan pihak pengurusan duduk berbincang bersama pemain demi kebangkitan Kedah.

"Kita harus beri peluang kepada Nidzam Adzha sebagai ketua jurulatih bersama-sama pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah untuk melakukan percaturan yang lebih berkesan.

“Tetapi jika kita sudah kalah tiga kali berturut-turut kepada pasukan bawahan... maka pihak persatuan harus melakukan tindakan drastik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 9:21 PM