PEMAIN beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
PEMAIN beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Ferzalfie Fauzi


JURULATIH beregu campuran negara, Chin Eei Hui mengakui prestasi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying semakin mantap walaupun mereka terlepas peluang untuk menjulang trofi kedua musim ini selepas kalah pada perlawanan akhir Terbuka Australia semalam.

Menurutnya, aksi ketika menentang beregu Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung boleh dikatakan kedua-dua anak buahnya itu gagal memberikan persembahan terbaik namun dari segi persefahaman ia boleh dipuji.

“Kedua-dua mereka mampu berada pada tahap fizikal terbaik terutama Liu Ying selepas dia menjalani pembedahan bahu tahun lalu,” kata Eei Hui ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, kesimpulan mudah, Peng Soon-Liu Ying sudah berada di landasan sebenar selepas prestasi mereka sedikit merudum sebaik meraih kejuaraan sulung tahun ini pada Masters Thailand, Januari lalu.

“Jika anda tanya mengenai prestasi keseluruhan mereka pada kejohanan ini, bagi saya mereka bermain dengan amat baik. Terutama sekali Liu Ying yang menunjukkan aksi terbaiknya di sini (Sydney).

“Kombinasi mereka juga dari masa ke semasa semakin memberangsangkan walaupun ia bukan pada tahap terbaik mereka seperti sebelum ini,” kata bekas pemain beregu wanita negara itu.

Ditanya mengenai peluang beregu itu menjadi gandingan ketiga negara mara ke Kejohanan Dunia di Nanjing Jun depan, Ee Hui menjelaskan semuanya bergantung kepada ranking terakhir bulan lalu.

“Sayang sekali untuk kejohanan ini mata mereka tidak diambil kira, namun saya masih berharap mereka mampu melayakkan diri. Sekarang kami perlu tunggu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan senarai fasa kedua atau ketiga,” katanya.

Pada aksi final di Sydney semalam, Peng Soon-Liu Ying yang juga pilihan ketujuh tumpas 12-21, 21-23 kepada Seung Jae-Yujung.

Selepas ini mereka akan menyambung aksi peringkat antarabangsa dengan menyertai Terbuka Amerika Syarikat dari 12 hingga 17 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 1:46 PM