PEMAIN beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Liu Ying Goh menewaskan pasangan China, Wang Zekang-Li Yinhui 21-16, 25-23 pada aksi separuh akhir. FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Liu Ying Goh menewaskan pasangan China, Wang Zekang-Li Yinhui 21-16, 25-23 pada aksi separuh akhir. FOTO Eizairi Shamsudin
Helmi Talkah


BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying hanya selangkah lagi untuk meraih gelaran kedua tahun ini selepas mengesahkan tempat di final kejohanan badminton Terbuka Australia, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, menewaskan pasangan China, Wang Zekang-Li Yinhui 21-16, 25-23 pada aksi separuh akhir.

Liu Ying berkata dia gembira kerana semakin mendapat rentak permainan bersama Peng Soon selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak kembali bergandingan awal tahun ini.

"Hari ini kami bermain baik. Namun, pada set kedua lampu di gelanggang terpadam dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika dan ia menjejaskan rentak permainan kami yang menyaksikan lawan mendapat semula keyakinan mereka.

"Mereka tiga kali berpeluang meraih mata perlawanan tetapi kami berjaya mengatasi situasi berkenaan untuk menang dan sekali gus layak ke final.

"Selepas kejayaan ke final ini, sudah pasti kami mahu memastikan gelaran juara menjadi milik kami. Ia akan meningkatkan lagi tahap keyakinan kami," kata Liu Ying ketika dihubungi, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang meraih gelaran juara Masters Thailand, Januari lalu akan menentang pasangan Korea Selatan, Seon Seung Jae-Chae YuJung pada aksi final, esok.

"Kami tidak pernah bertemu mereka sebelum ini kerana mereka adalah gandingan pecahan. Jadi, kami akan buat persiapan terbaik untuk memastikan boleh muncul juara," kata Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 7:02 PM