Pemain JDT, Diogo Luis Santo (kiri) berebut bola dengan pemain PKNS FC, Nicholas Ryan Swirad dalam aksi Liga Super. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Pemain JDT, Diogo Luis Santo (kiri) berebut bola dengan pemain PKNS FC, Nicholas Ryan Swirad dalam aksi Liga Super. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus mendahului takhta liga selepas menewaskan PKNS FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Kemenangan ke-25 berturut-turut dalam saingan liga sejak musim 2017 tatkala beraksi di Larkin itu turut menebus kehampaan skuad Harimau Selatan yang tersingkir saingan Piala FA selepas tewas 0-1 kepada lawan sama Selasa lalu.

Dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Afiq Fazail dan sepakan penalti Gonzalo Cabrera selain jaringan Safawi Rasid di babak kedua menyaksikan JDT kini mengumpul 26 mata dengan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 10 perlawanan liga.

JDT tidak menunggu lama untuk merungkai jaringan berpunca daripada sepakan sudut Safawi pada minit kelapan tepat kepada Afiq Fazail yang merembat bola kencang di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

Tuan rumah meneruskan usaha menambah jaringan menerusi sepakan penalti selepas pengadil perlawanan Nazmi Nasaruddin berjaya mengesan bola terkena tangan pemain pertahanan PKNS FC berpunca sepakan Gonzalo Cabrera.

Cabrera yang ditugaskan mengambil sepakan itu tenang merembat bola ke penjuru kanan gol pada minit ke-14 untuk menewaskan Zarif Irfan buat kali kedua.

Pelawat tampak tidak mahu mengalah apabila bangkit untuk merapatkan jurang gol pada minit ke-48 hasil jaringan menarik Gabriel Guerra yang merembat bola tepat ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Safawi melengkapkan kemenangan tuan rumah selepas menerima umpanan Cabrera seterusnya memastikan kemenangan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 11:05 PM