PENG Soon (kanan) dan Liu Ying mahu fokus satu aksi dan lakukan yang terbaik. -Foto fail
PENG Soon (kanan) dan Liu Ying mahu fokus satu aksi dan lakukan yang terbaik. -Foto fail
Helmi Talkah


BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying enggan meletakkan sasaran tinggi menjelang saingan Malaysia Masters yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula esok.

Walaupun masih segar dengan kejayaan muncul juara Thailand Masters semalam, namun pasangan ke-21 dunia itu mengakui cabaran pada saingan Malaysia Masters lebih sukar dengan penyertaan pasangan utama dunia.

“Kami tidak letak sasaran yang tinggi termasuk terlalu memikirkan untuk menjadi juara. Undian untuk saingan Malaysia Masters sudah pasti lebih sukar.

“Jadi, lebih baik kami fokus satu demi satu perlawanan dan cuba melakukan yang terbaik. Paling penting kami mahu mendapatkan semula rentak permainan kami,” kata Liu Ying.

Peng Soon-Liu Ying meraih gelaran sulung untuk tahun 2018 selepas menjadi juara Thailand Masters hasil kemenangan ke atas pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul 21-15, 14-21, 21-16 dalam aksi final, semalam.

Liu Ying, berkata kejuaraan di Bangkok itu bukan sahaja permulaan yang positif buat mereka yang kembali digandingkan selepas terpisah lapan bulan tetapi diyakini mampu meningkatkan tahap keyakinan mereka terutama dalam mengharungi musim mencabar tahun ini.

“Kami puas hati dengan prestasi kami dalam aksi final itu, cuma set kedua kami hilang keyakinan sedikit. Namun, set ketiga kami tukar strategi dan ia membuahkan hasil yang positif,” kata Liu Ying.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 akan membuka tirai saingan Malaysia Masters menentang beregu Singapura, Terry Hee-Tan Wei Han di pusingan pertama.

Jika menang, mereka berdepan cabaran sukar apabila bakal menentang sama ada pilihan keenam dari Denmark, Mathias Christiansen-Christinna Pedersen atau pasangan China, Lu Kai-Zhao Chaomin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 7:22 PM