BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying masih berpeluang layak ke Kejohanan Dunia di Nanjing, China. FOTO NSTP
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying masih berpeluang layak ke Kejohanan Dunia di Nanjing, China. FOTO NSTP
Fabian Peter


BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying optimis masih berpeluang melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Nanjing, China Julai depan. 

Ia selepas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Australia di Sydney selepas menewaskan Yantoni Edy Saputra-Marsheilla Gischa Islami dari Indonesia 21-3, 21-10 pada aksi suku akhir, hari ini. 

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh akan berdepan pasangan China, Wang Zekang-Li Yinhui bagi merebut tempat ke final, esok. 

Terdahulu, pasangan China berkenaan menunjukkan jalan keluar kepada beregu campuran nombor satu negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-17, 21-13 dalam satu lagi aksi suku akhir. 

"Lawan kami hari ini (Edy Saputra-Marsheilla) tidak terlalu kuat dan kami pernah bertemu mereka dua kali sebelum ini. 

"Esok kami akan menentang pasangan yang menewaskan Soon Huat-Shevon, jadi kami perlu berhati-hati. Apapun, kami akan fokus kepada persiapan kami dan akan melakukan yang terbaik untuk menewaskan mereka. 

"Sasaran utama kami untuk memperbaiki kedudukan ranking bagi membolehkan kami layak ke Kejohanan Dunia. Apa yang saya tahu tarikh tutup kelayakan sudah pun berakhir bulan lalu tetapi kami berada dalam senarai simpanan. 

"Jadi, kami perlu tunggu dan lihat sama ada kami layak atau tidak," kata Liu Ying ketika dihubungi, hari ini. 

Peng Soon-Liu Ying yang kembali berganding awal tahun ini selepas berpisah sementara susulan pembedahan dilakukan Liu Ying ketika ini berada di kedudukan ke-46 dunia. 

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dibenarkan menghantar tiga pasangan ke Nanjing jika mereka berada dalam kelompok 24 terbaik dunia. 

Ketika ini, Soon Huat-Shevon berada di kedudukan kesembilan dunia diikuti Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (11) dan Peng Soon-Cheah Yee See (23) yang digandingkan untuk sementara.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:36 PM