KUANTAN FA kini tagih janji tajaan Marcerra. FOTO/FAIL
KUANTAN FA kini tagih janji tajaan Marcerra. FOTO/FAIL
Aziman Rosdi


JIKA Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh menunggu tempoh sehari lagi sebelum membuat keputusan, Kuantan FA masih lagi ‘hidup’.

Ia diakui oleh Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan yang menyifatkan tindakan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) menyingkirkan mereka daripada kempen serta merta pada 21 April lalu atas kesalahan tidak turun beraksi menentang PDRM pada perlawanan Liga Perdana, terlalu drastik.

“Saya selalu berhubung dan berbincang dengan MFL sebelum keputusan itu dibuat, agak terkejut apabila kami mendapat tahu Kuantan FA disingkirkan sedangkan kami akan menandatangani kontrak penajaan dengan penaja baru (bukan Marcerra) pada keesokan harinya.

“Ini amat mengecewakan kami, kerana kami sudah berusaha untuk menyelesaikan masalah kewangan ini.

“Sekarang bila kami sudah tidak beraksi, siapa yang mahu taja? Bagaimana mahu membayar tunggakan gaji pemain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akibat masalah pembayaran gaji pemain, pasukan Kuantan FA mencetuskan kontroversi apabila ‘hilang’ pada hari perlawanan dengan PDRM di Stadium Shah Alam, 15 April lalu.

MFL membuat keputusan menyingkirkan Kuantan FA manakala semua tujuh perlawanan membabitkan kelab The Seagulls itu tidak dikira.

Jelas Wan Solihin, sepatutnya MFL boleh membuat keputusan lebih awal supaya masalah itu tidak berlarutan.

“Kalau macam ini, lebih baik MFL tidak benarkan pasukan ini bertanding pada Januari lagi, buat keputusan awal, kenapa benarkan kami bermain,” katanya.

Menurut Solihin, pihaknya akan berusaha melunaskan tunggakan gaji pemain musim lalu manakala bagi gaji pemain musim ini adalah tanggungjawab penaja Marcerra.

“Marcerra pada awalnya bersetuju untuk beri RM3.5 juta sebagai penaja, tapi satu sen pun tak bagi. Kami terpaksa menggunakan duit sendiri untuk mengharungi tujuh perlawanan liga sedangkan kos perbelanjaan pasukan ini dalam RM700,000 hingga RM800,000 sebulan.

“Pihak Marcerra perlu bertanggungjawab atas apa yang dijanjikan sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 12:36 AM