ZAIDATUL HUSNIAH ZULKIFLI
ZAIDATUL HUSNIAH ZULKIFLI
Mohd Khairie Khalid


Kemaraan ke peringkat separuh akhir pada temasya Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia menjadi kayu ukur buat Zaidatul Husniah Zulkifli untuk keputusan lebih memberangsangkan di Sukan Asia, Indonesia pada Ogos.

Malah antara perkara utama yang perlu dititik beratkan ratu pecut wanita itu adalah persiapan mental selain konsisten dengan larian yang dilakukan di balapan.

Itu antara nasihat diberikan bekas jaguh trek negara, G Shanti, yang masih mengikuti perkembangan sukan olahraga meskipun sudah bersara sejak tahun 1998.

“Ia adalah satu keputusan yang baik apabila Husniah mampu mara ke pusingan separuh akhir 100m di Sukan Komanwel.

“Saya harap Husniah dapat mencatat keputusan yang lebih baik di Sukan Asia Indonesia pada Ogos nanti. Bagi saya fizikal tidak penting tetapi ia lebih kepada persediaan mental pada hari kejohanan.

“Catatan masa juga perlu sentiasa konsisten dan pada masa sama dia perlu mengkaji serta menilai kekuatan lawan di Sukan Asia,” kata Shanti yang kini berkhidmat di Maybank Bandar Baru Bangi.

Di Glasgow, Husniah yang mesra dipanggil ‘Adik’ mencipta kejutan apabila menjadi atlet pecut ketiga selepas Tan Sri Dr M Jegathesan dan G Shanti mara ke separuh akhir Sukan Komanwel, masing-masing pada tahun 1966 dan 1998.

Pada aksi separuh akhir di Gold Coast, Husniah mencatat 11.84s selepas melakukan 11.64s pada saringan pusingan pertama. 

Rekod kebangsaan masih menjadi milik Shanti dengan kepantasan 11.50s yang dilakukannya pada tahun 1993.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 9:51 PM