ZAINAL umumkan perletakan jawatannya kelmarin. FOTO Asyraf Hamzah
ZAINAL umumkan perletakan jawatannya kelmarin. FOTO Asyraf Hamzah
Aida Adilah Mat


SUKARELA atau terpaksa? Itu persoalan yang timbul selepas ketua jurulatih olahraga, Zainal Abas membuat kejutan dengan mengumumkan perletakan jawatannya, kelmarin.

Dalam surat bertarikh 1 Julai itu, Zainal mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau dalam mengemudi sukan olahraga negara.

Jelas Zainal, keputusannya untuk meletakkan jawatan adalah kerana mahu memberi sepenuh tumpuan dan komitmen kepada jawatannya selaku Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk SM Muthu atas pelantikan beliau selaku Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang baharu.

“Ucapan terima kasih juga kepada KOM atas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama lebih tiga tahun untuk menyandang jawatan ketua jurulatih.

“Sepanjang lebih tiga tahun saya menjawat jawatan ketua jurulatih, saya berbangga dengan kejayaan atlet olahraga kebangsaan,” katanya.

Di bawah seliaan Zainal, sebanyak 37 rekod baru berjaya dicipta membabitkan 17 acara berbeza.

Tiga rekod Sukan SEA berjaya diperbaharui dan satu disamai empat atlet di Sukan SEA Kuala Lumpur.

Kecemerlangan atlet diteruskan di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di mana Zaidatul Husniah Zulkefli menjadi atlet wanita kedua dalam sejarah olahraga Malaysia layak ke separuh akhir Sukan Komanwel selepas G Shanti pada tahun 1998.

Zaidatul Husniah turut cemerlang di Sukan Asia 2018 apabila dia menjadi atlet wanita kedua dalam sejarah olahraga negara layak ke acara akhir 100m Sukan Asia, selepas G Shanti, juga pada tahun 1998.

Selain itu, kuartet 4x100m lelaki turut menyerlah di Gold Coast, Australia apabila mencipta sejarah menjadi kuartet 4x100m lelaki pertama negara yang layak ke acara akhir 4x100m di Sukan Komanwel.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua atlet yang menunjukkan kesungguhan dan kecekalan dalam menggapai impian mereka.

“Teruskan usaha anda dan saya pasti kejayaan yang diimpikan akan menjadi kenyataan. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada rakan jurulatih yang banyak memberikan kerjasama dalam merangka dan mengendali program latihan atlet tanpa mengenal erti penat. Hanya Allah yang mampu membalas jasa anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 5:00 AM