AKSI S Sivasangari (kanan) ketika aksi menentang pemain dari New Zealand Joelle King. - Foto YAZIT RAZALI
AKSI S Sivasangari (kanan) ketika aksi menentang pemain dari New Zealand Joelle King. - Foto YAZIT RAZALI

GOLD COAST: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menjanjikan penampilan ikon baharu dalam arena sukan itu pada penganjuran temasya kedua terbesar dunia, Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.

Presiden SRAM, Huang Ying How berkata berdasarkan prestasi pada Sukan Komanwel Sukan Komanwel 2018, bakat muda seperti Rachel Arnold, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman mampu menggantikan Datuk Nicol David suatu hari nanti.

“Pencapaian mereka di Gold Coast sangat baik dan saya amat berpuas hati dengan prestasi skuad skuasy. Pemain muda kita berjaya mengalahkan pemain yang lebih tinggi rankingnya walaupun gagal raih pingat,” katanya.

Huang yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel berkata perancangan SRAM membentuk pasukan muda ternyata membuahkan hasil positif apabila beberapa pemain menampilkan prestasi baik apabila beraksi dengan pemain lebih tinggi rankingnya.

Sebagai contoh, katanya, gandingan Rachel-Sivasangari menundukkan juara dunia, Joelle King-Amanda Landers Murphy dari New Zealand dalam pusingan peringkat kumpulan beregu wanita untuk mara ke suku akhir bertemu Laura Massaro-Sarah Jane Perry dari England, namun tewas pada pusingan itu.

“Saya sebenarnya berharap Rachel-Sivasangari mendapat pingat gangsa. Saya percaya mereka boleh lakukan kerana telah buktikan pada perlawanan awal sebelum itu dan pada perlawanan dengan Massaro-Perry mereka hanya tewas tipis.

“Bukan mereka saja yang telah tunjuk prestasi baik, Aifa juga agak bagus. Mereka semua masih muda tapi sudah mampu bertanding di tahap ini. Seperti Aifa dia sekurang-kurangnya menang satu set kepada Tesni Evans (Wales) yang menang kepada Nicol. Itu sudah cukup bagus untuk pemain muda,” katanya.

Huang berkata beliau percaya pemain skuasy negara berada di landasan yang tepat untuk mencapai kejayaan di peringkat dunia seperti ikon skuasy negara, Nicol David.

Mengulas mengenai pencapaian membanggakan oleh perseorangan lelaki negara, Mohd Nafiizwan Adnan yang meraih pingat gangsa buat pertama kali dalam sejarah arena skuasy lelaki, Huang berkata kejayaan itu membuktikan Program Podium telah memberikan impak yang besar kepada pemain itu.

Katanya, Nafiizwan yang menang ke atas pemain nombor satu dunia, Nick Matthew telah membuktikan dengan mengikuti strategi awal.

“Nafiizwan bermain berdasarkan kepada analisis dan strategi awal yang ditetapkan. Memang tidak mudah untuk mereka ikut strategi awal tapi ia berbaloi. Mesej saya kepada pemain muda seperti Mohd Syafiq Kamal dan Ng Eain Yow, mereka perlu ikut analisis yang kita telah buat,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 2:36 PM