TIMBALAN Presiden SRAM, Nik Razeen A. Daud (dua dari kiri) menerima cek replika dari wakil penaja Ohana, Gerard Monteiro (dua dari kanan) disaksikan Maniam (kanan) dan Naib Presiden SRAM, K. Subramaniam pada sidang media Kejohanan Terbuka Skuasy Malaysia Ohana 2017. FOTO/OWEE AH CHUN.
TIMBALAN Presiden SRAM, Nik Razeen A. Daud (dua dari kiri) menerima cek replika dari wakil penaja Ohana, Gerard Monteiro (dua dari kanan) disaksikan Maniam (kanan) dan Naib Presiden SRAM, K. Subramaniam pada sidang media Kejohanan Terbuka Skuasy Malaysia Ohana 2017. FOTO/OWEE AH CHUN.
AidaAdilah Mat


SELEPAS dua tahun penganjurannya terhenti berikutan tiada penaja, akhirnya Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia kembali dipertandingkan.

Biarpun tanpa kelibat pemain wanita terbaik negara Datuk Nicol David, penyertaan beberapa pemain luar diyakini mampu mencetuskan saingan dan menarik minat peminat sukan itu datang menyaksikannya.

Pengarah Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), S Maniam berkata, Terbuka Malaysia akan menjadi landasan terbaik terutama buat pemain negara mempersiapkan diri menghadapi Sukan Komanwel, tahun depan.

Timbalan Presiden SRAM, Nik Razeen A. Daud (belakang kiri) bersama pemain skuasy negara. FOTO/OWEE AH CHUN.
Timbalan Presiden SRAM, Nik Razeen A. Daud (belakang kiri) bersama pemain skuasy negara. FOTO/OWEE AH CHUN.

“Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Ohana kerana tampil menjadi penaja sekali gus menghidupkan kembali kejohanan ini. “Biarpun tidak menawarkan jumlah wang kemenangan yang tinggi, namun ia mampu menjadi medan terbaik buat pemain khasnya barisan negara menguji tahap kemampuan mereka beraksi menentang pemain yang mempunyai ranking lebih baik,” katanya.

Malaysia membariskan Mohd Nafiizwan Adnan yang kini menghuni ranking ke-29 dunia dan menjadi pertaruhan terbaik negara untuk mengungguli kategori lelaki.

Bagaimanapun, Nafiizwan dijangka menerima tentangan daripada pemain pilihan pertama, Alan Clyne dari Scotland yang kini berada di ranking ke-25 dunia. Selain itu, harapan turut disandarkan kepada Ivan Yuen serta juara remaja dunia Ng Eain Yow yang sudah pasti makin membara selepas meraih pingat emas di Sukan SEA, Ogos lalu.

Cabaran dalam saingan wanita pula akan digalas Rachael Arnold, S Sivasangari, Aifa Azman selain beberapa pemain muda yang terpilih atas tiket wildcard dengan pemain Mesir, Zeina Mickawy yang menduduki ranking ke-46 dunia diletakkan sebagai pilihan pertama.

Kejohanan yang akan membuka tirainya di Arena Nicol David Bukit Jalil dari 16 hingga 21 Oktober ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$35,000 (RM147,000).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:45 PM