GOH V Shem dan Tan Wee Kiong gagal ke final. - Foto YAZIT RAZALI
GOH V Shem dan Tan Wee Kiong gagal ke final. - Foto YAZIT RAZALI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


GOLD COAST: Dominasi Malaysia dalam acara beregu lelaki di Sukan Komanwel berakhir selepas gandingan negara, Goh V Shem-Tan  Wee Kiong tewas di saingan separuh akhir, hari ini.

Pilihan utama kejohanan itu tewas 15-21, 21-16, 21-15 kepada gandingan England, Marcus Ellis-Chris Langridge di Pusat Riadah dan Sukan Carrara.

Untuk rekod, Malaysia mendominasi acara berkenaan dengan meraih tujuh emas berturut-turut bermula pada edisi 1990 di Auckland.

"Selepas memenangi set pertama, lawan menukar taktik dan kami tidak dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan mereka.

"Mereka juga bertahan dengan sangat baik pada set kedua. Kami juga tidak berada pada tahap terbaik sejak kembali bergandingan bersama.

"Tiada apa yang boleh kami lakukan sekarang kecuali fokus kepada perlawanan untuk penentuan pingat gangsa lewat nanti," kata V Shem.

V Shem-Wee Kiong yang menduduki tangga ke-14 dunia akan bertemu wakil Sri Lanka, Sachin Dias-Buwaneka Goonethilleka untuk penentuan gangsa.

Sementara itu, Ellis berkata: "Kami bermain secara bertahan pada set pertama sebelum menukar corak permainan kepada menyerang pada set kedua dan penentuan.

"Kami rasa pertemuan dengan Malaysia pada acara berpasukan campuran separuh akhir memberi sedikit kelebihan. Kami mengkaji kekalahan itu dan kemudian menukar corak permainan," katanya.

Ellis-Langridge akan bertemu pasangan India, Satwik Rankireddy-Chirag Chandrashekhar pada aksi final esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 1:14 PM