LUIGI DI BIAGIO
LUIGI DI BIAGIO
AFP

MILAN: Pengendali baharu skuad Itali akan diumumkan pada 20 Mei, kata Timbalan Pesuruhjaya Persekutuan Bola Sepak Itali Alessandro Costacurta.

Bekas pertahanan AC Milan, Costacurta diberi tugasan untuk mencari pengganti Gian Piero Ventura yang dipecat selepas Itali gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia November lalu.

Dan dengan pengendali skuad bawah 21 tahun Luigi Di Biagio mengambil alih tugas itu buat sementara waktu, juara dunia empat kali itu mengalami kekalahan pada perlawanan pertama mereka sejak November apabila tewas 2-0 kepada Argentina di Manchester awal pagi semalam.

“Kami akan memberitahu anda nama pengendali baharu pada 20 Mei,” kata Costacurta. “Jika kami mempunyai peluang untuk mendapat seseorang lebih baik daripada Di Biagio, dan saya tidak rasa ada ramai, kami akan mendapatkannya.”

Antara nama-nama besar yang dikaitkan dengan jawatan itu ialah pengendali Zenit St Petersburg Roberto Mancini, bos Chelsea Antonio Conte, bekas pengendali Leicester Claudio Ranieri, yang kini bersama kelab Perancis Nantes, dan Carlo Ancelotti yang kini tidak bersama mana-mana pasukan selepas dipecat Bayern Munich.

“Bukan mudah untuk mencari seseorang yang mampu melakukan tugas dengan sempurna, dan kami perlu melihat apa yang perlu dilakukan bagi membentuk pasukan yang layak untuk Euro 2020.

“Saya rasa ia lebih penting untuk memikirkan tentang pemain yang kami ada, kerana saya ragu-ragu Jose Mourinho atau Pep Guardiola mampu melakukan dengan lebih baik semalam,” katanya.

Menurut Costacurta, Di Biagio adalah pengendali yang semakin bagus tahun demi tahun dan mungkin dia akan dilantik secara tetap atau menjadi sebahagian daripada barisan jurulatih pasukan senior.

Itali akan berdepan England di Wembley pada awal pagi Rabu dan dua lagi perlawanan persahabatan bertemu Perancis dan Belanda pada Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 1:31 PM