DI Biago  mungkin teraju Azzurri. FOTO/AFP
DI Biago mungkin teraju Azzurri. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Pengurus Chelsea Antonio Conte menarik diri sebagai jurulatih Itali namun jurulatih sementara Luigi Di Biagio mungkin menjadi pilihan kata penolong pesuruhjaya persekutuan bola sepak Itali (FIGC) Alessandro Costacurta hari ini.

Bekas bintang AC Milan Costacurta diberi tugas mencari pengganti Gian Piero Ventura yang dipecat selepas Itali tersingkir daripada Piala Dunia.

“Antonio Conte menarik diri,” kata Costacurta, menambah bahawa jurulatih skuad Bawah-21 Itali Di Biagio, yang mengendalikan aksi persahabatan menentang Argentina dan England bulan depan mungkin ditawarkan lebih daripada jawatan sementara.

“Kami semua berkobar-kobar mahukan sebuah revolusi dan melakukan sesuatu yang hebat untuk bola sepak Itali tetapi jelas sekali banyak yang perlu dilakukan,” kata Costacurta kepada Sky Sport.

“Seorang jurulatih baru Itali amat penting namun ramai yang lupa beberapa pilihan yang ada masih mempunyai kontrak jadi sukar untuk memperkatakannya sekarang.

“Seperti yang diperkatakan Conte, beliau mahu memberi tumpuan sebagai jurulatih kelab sekurang-kurangnya untuk tempoh 18 bulan lagi, iaitu tempoh kontraknya bersama Chelsea, jadi beliau menarik diri.

“Ada diantaranya juga belum pasti dapat memberi komitmen. Sebagai contoh Roberto Mancini masih mempunyai kontrak dengan Zenit. Kami perlu melihat siapa yang boleh dan siapa yang tidak.”

Bekas pemain tengah Itali Di Biagio, 46, yang beraksi mewakili Roma, Inter Milan dan Lazio sepanjang kariernya, tidak dianggap sebagai calon pilihan jika dibandingkan dengan nama besar yang dikaitkan dengan tugas itu seperti Mancini, Conte, Claudio Ranieri dan Carlo Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 12:34 PM