PENYERANG Nice, Mario Balotelli sekali lagi terlepas pandang bagi aksi persahabatan bulan ini. - Foto REUTERS
PENYERANG Nice, Mario Balotelli sekali lagi terlepas pandang bagi aksi persahabatan bulan ini. - Foto REUTERS

JURULATIH sementara Itali, Luigi Di Biagio menyatakan pintu masih terbuka buat penyerang Mario Balotelli yang sekali lagi terlepas pandang bagi aksi persahabatan bulan ini, di sebalik kerap menjaringkan gol buat pasukan Ligue 1, Nice.

Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan 22 gol dalam 31 penampilan bagi semua pertandingan buat kelab Perancis itu musim ini.

"Angka dan gol amat penting buat penyerang tapi ia mesti berkaitan dengan satu bentuk corak persembahan," kata Di Biagio di pusat latihan pasukan berdekatan Florence.

"Saya sudah melihat, menilai dan memutuskan... saya akan terus mengikuti perkembangannya dan kita lihat apa yang akan dilakukannya dalam beberapa bulan akan datang."

Balotelli tidak dipilih oleh Itali sejak Piala Dunia 2014 di Brazil.

Itali berdepan Argentina di Manchester awal pagi Sabtu ini dan England di Wembley empat hari kemudian, perlawanan pertama mereka sejak November lalu apabila mereka gagal layak ke Piala Dunia di Russia tahun ini.

Di Biagio, jurulatih pasukan Bawah-21, secara sementara dinaikkan pangkat untuk menggantikan Gian Piero Ventura, yang dipecat selepas mereka tewas 0-1 secara agregat kepada Sweden pada playoff Piala Dunia.

"Di sebalik kekecewaan besar November lalu tidak ada cara lain untuk melangkah ke hadapan. Kami tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku," kata Di Biagio.

"Kami bukannya dalam kalangan pasukan kebangsaan terbaik tapi kami bukan juga dalam kalangan terburuk. Jika kami boleh bermula kembali dengan sedikit kesabaran, kami boleh membentuk semula pasukan kebangsaan yang kuat kerana kami mempunyai pemain muda yang masih berkembang dan meningkat."

Di Biagio turut menyenaraikan Gianluigi Buffon dalam skuadnya selepas memujuk penjaga gol berusia 40 tahun itu supaya menimbang semula keputusannya bersara daripada bola sepak antarabangsa.

"Dia berada di sini untuk bermain, membantu saya dan memberikan nilai tambahan di luar dan dalam padang. Dia akan bermain satu daripada dua perlawanan itu," ujar Di Biagio. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 6:57 AM