ANTONIO Conte, Roberto Mancini dan Luigi Di Biagio calon ketua jurulatih Itali.
ANTONIO Conte, Roberto Mancini dan Luigi Di Biagio calon ketua jurulatih Itali.
AFP

ITALI menyenarai pendek Antonio Conte, Roberto Mancini dan Luigi Di Biagio sebagai calon ketua jurulatih baharu mereka, umum naib pesuruhjaya Persekutuan Bola Sepak Itali Alessandro Costacurta hari ini.

“Kami merancang untuk melantik jurulatih baharu pada Jun ini. Conte, Mancini atau Di Biagio? Mereka ini antara yang akan dilantik, tiada lagi calon lain,” kata Costacurta.

Bekas bintang AC Milan itu diberi tugasan untuk mencari pengganti kepada Gian Piero Ventura yang dipecat berikutan kegagalan The Azzurri melayakkan diri ke Piala Dunia.

Ketiga-tiga jurulatih yang disenarai pendek ini adalah bekas tonggak antarabangsa Itali.

Costacurta bagaimanapun tidak menyebut nama bekas pengurus Leicester City, Claudio Ranieri yang berkata bersedia meninggalkan Nantes sekiranya ditawarkan tugas terbabit.

Conte, 48, pernah melatih Itali daripada tahun 2014 hingga ke peringkat suku akhir Kejohanan Eropah 2016 sebelum berhijrah menyertai Chelsea.

“Saya tidak pernah berkata saya lebih gemarkan Conte,” sambung Costa, yang berkata dalam satu temubual minggu ini bahawa pengendali Chelsea itu menjadi calon pilihan.

“Saya hanya berkata selepas pernah bersama pasukan kebangsaan, kami melihatnya mempunyai karektor tersendiri.”

Mancini yang juga ketua jurulatih Zenit St Petersburg berkata beliau berminat dengan peluang membimbing Itali dalam usahanya memenuhi impian memenangi Piala Dunia.

Mancini mempunyai rekod yang hebat apabila memenangi kejuaraan dengan setiap kelab yang pernah dibimbingnya.

Antaranya membantu Manchester City mendakap gelaran Liga Perdana Inggeris pada 2012, dan memenangi tiga gelaran Serie A bersama Inter Milan dan Piala Itali dengan Inter, Fiorentina dan Lazio.

Jurulatih Bawah-21 tahun Itali, Di Biagio, yang juga bekas pemain tengah Roma dan Inter, tidak mempunyai pengalaman luas sebagai jurulatih dan dilantik sementara untuk mengemudi Itali bagi menghadapi aksi persahabatan menentang England dan Argentina bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 7:06 AM