HAZIQ SAMSUL
HAZIQ SAMSUL
Naqib Nor Said

PENYERANG hoki negara, Haziq Samsul menggambarkan 2018 sebagai permulaan buruk dalam kariernya selepas tidak terpilih pada dua kejohanan pertama tahun ini.

Sejak membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel 2014, Haziq sering kali terpilih mewakili skuad kebangsaan terutamanya pada kejohanan penting.

Namun, bagaikan ada yang tidak kena dengan tiba-tiba penyerang kelahiran Perak berusia 24 tahun itu disisihkan untuk kempen Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir awal bulan ini dan yang terbaru Sukan Komanwel di Gold Coast bermula 4 April ini.

Walaupun tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya itu, Haziq tetap profesional apabila sedia menjadikan keputusan ketua jurulatih Stephen Van Huizen ‘merehatkannya’ sebagai alasan untuk bangkit lebih garang selepas ini.

“Selepas beraksi pada semua kejohanan tahun lalu (kecuali Sukan SEA), saya akui permulaan 2018 sememangnya tidak memihak saya.

“Dari segi latihan semuanya OK, malah saya tiada masalah dengan jurulatih... Memang kecewa dengan diri sendiri apabila diketepikan untuk dua kejohanan secara berturut-turut.

“Apapun, saya menerima keputusan jurulatih ini dengan hati terbuka dan tempoh ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk merehatkan minda sebelum cuba membangunkan semula karier saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam laporan NSTP Sukan semalam, Stephen mendedahkan keputusannya merehatkan Haziq dibuat selepas mendapati prestasi pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) itu kini tidak berada di tahap terbaik.

“Berkenaan perkara itu (prestasi) saya tidak boleh komen. Apa yang penting saya sudah memberikan komitmen sepenuhnya sewaktu latihan,” tambah Haziq.

Begitupun, Haziq dilihat berada pada tahap terbaik sewaktu aksi Piala Razak, November lalu apabila dinobatkan selaku pemain terbaik kejohanan selepas membantu Perak menjuarainya.

Selain itu, dia juga beraksi cemerlang dalam membantu KLHC menyambar dua gelaran - Piala Sumbangsih dan Piala TNB - dalam saingan liga yang berakhir Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 8:07 PM