KEYAKINAN Haziq semakin meningkat selepas sertai skuad kebangsaan. FOTO/FAIL
KEYAKINAN Haziq semakin meningkat selepas sertai skuad kebangsaan. FOTO/FAIL
Saiful Affendy Sapran

 

PENYERANG skuad hoki negara, Muhammad Haziq Samsul berharap ketua jurulatih, Stephen Van Huizen terus memberi peluang kepadanya untuk turun beraksi pada baki siri perlawanan persahabatan dengan Argentina.

Jelas Haziq, dia mengakui tahap keyakinannya semakin meningkat selepas kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Pemain kelahiran Trolak, Perak itu sebelum ini disisihkan dalam dua kejohanan awal tahun ini, Piala Sultan Azlan Shah serta Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

  Dia membalas kepercayaan yang diberikan kembali oleh Stephen kepadanya apabila menjaringkan salah satu gol ketika skuad negara tewas 2-7 pada perlawanan persahabatan ketiga dengan Argentina.

  “Memang tahap keyakinan saya semakin tinggi selepas jaringkan gol itu.

  “Sebab itu saya berharap jurulatih terus beri peluang kepada saya. Hanya dengan peluang inilah dapat saya buktikan kemampuan diri saya,” katanya.

Haziq mengakui sasaran utamanya pada tahun ini adalah untuk terpilih beraksi di Sukan Asia di Indonesia yang cukup penting kerana pemenang pingat emas akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

  “Saya akan bagi komitmen 100 peratus. Bagi saya peluang ke Sukan Asia masih cerah walaupun saya tidak terpilih untuk beraksi dalam dua kejohanan sebelum ini,” katanya.

  Skuad negara akan turun pada perlawanan persahabatan keempat dengan Argentina esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 4:43 PM