HAFIZUDDIN (kanan) sedia galas misi negara di Sukan Komanwel. FOTO/FAIL
HAFIZUDDIN (kanan) sedia galas misi negara di Sukan Komanwel. FOTO/FAIL
Naqib Nor Said

SAMA ada Hafizuddin Othman atau Hairi Abd Rahman, skuad hoki negara perlu memastikan dua penjaga gol itu cukup bersedia menjelang aksi sulung Sukan Komanwel Gold Coast menentang England, Jumaat ini.

Sekiranya sebelum ini Malaysian Tigers boleh menurunkan Hafizuddin dan Hairi secara bergilir-gilir sepanjang saingan Piala Sultan Azlan Shah, namun skuad itu pasti menanggung padah kerana temasya kedua terbesar dunia itu menjanjikan cabaran berbeza.

Ini kerana apa juga keputusan dalam temasya kedua terbesar dunia itu akan menjadi rujukan utama terhadap indeks petunjuk prestasi (KPI) skuad negara dalam ‘Program Podium’ selepas ini.

Justeru, ketua jurulatih negara Stephen Van Huizen menegaskan beliau mungkin terpaksa membuat sedikit perubahan dari segi sistem penggiliran penjaga gawang meskipun terus kekal dengan pendirian tiada penjaga gol nombor satu.

“Kaedah penggiliran penjaga gol mungkin akan terus diguna pakai, itu adalah polisi yang saya gunakan dan selesa dengannya. Buat masa ini tiada istilah penjaga gol nombor satu.

“Cuma untuk Sukan Komanwel saya mungkin akan gilirkan penjaga gol dari satu perlawanan ke satu perlawanan, tidak seperti Piala Sultan Azlan Shah yang mana kedua-duanya akan digilirkan di setiap suku permainan.

“Saya amat yakin terhadap kemampuan Hafizuddin dan Hairi. Kedua-duanya adalah penjaga gol masa depan negara dan ini peluang terbaik untuk mereka meningkatkan pengalaman sementara ketiadaan S Kumar,” kata Stephen.

Kumar kini sedang menanti tarikh sesi pendengaran oleh Persekutuan Hoki Dunia selepas dikenakan hukuman penggantungan sementara kerana positif bahan terlarang sibutramine pada Piala Asia di Dhaka, Oktober tahun lalu.

Sepanjang ketiadaan penjaga gol nombor satu negara itu, posisinya digalas Hafizuddin atau Hairi yang silih berganti mengawal benteng terakhir negara di Piala Sultan Azlan Shah 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 3:51 PM