BILIK pendengaran di CAS.
BILIK pendengaran di CAS.
Fabian Peter

DUA pemain badminton Malaysia yang disyaki terbabit dalam dakwaan mengatur perlawanan, akan mencabar keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sumber yang rapat dengan badan dunia itu, berkata pengumuman rasmi dijangka akan dibuat minggu ini dan ia tampak tidak akan memihak kepada dua pemain terbabit.

Jika didapati bersalah, kedua-dua pemain akan digantung seumur hidup.

“Daripada apa yang saya dengar, dua pemain itu akan mencabar keputusan BWF di CAS.

“Untuk mengekalkan keputusan yang positif, kedua-dua pemain itu terus berdiam diri, anda tidak akan melihat atau mendengar mereka bercakap dengan sesiapa mengenai apapun,” kata sumber berkenaan.

Bulan lalu, Sukan NSTP mengejutkan dunia badminton menerusi pendedahan skandal mengatur perlawanan membabitkan dua pemain negara.

Kedua-dua pemain yang kini digantung sementara daripada semua kejohanan ketika menanti siasatan, juga menghadiri sesi pendengaran di Singapura dengan mereka berdepan panel tiga individu bebas dilantik BWF.

Kedua-dua pemain itu didakwa terhadap enam dakwaan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan antara 2013 hingga 2016.

Disebabkan kes berkenaan ialah kali pertama berlaku dalam sejarah sukan berkenaan, BWF dijangka akan menjatuhkan hukuman mandatori (penggantungan seumur hidup).

“Ia tampak tidak memihak mereka, saya percaya BWF akan menggantung dua pemain ini,” kata sumber berkenaan.

Ditanya sama ada badan dunia itu akan mengadakan sidang akhbar, sumber itu berkata: “Saya tidak rasa akan ada, mereka mungkin hanya akan meletakkan pengumuman rasmi dalam laman sesawang rasmi mereka, itulah BWF.”

Walaupun BWF masih belum mendedahkan nama pemain terbabit, juara remaja dunia 2011 Zulfadli Zulkiffli dan pemain Piala Thomas 2010 Tan Chun Seang dilihat menghadiri sesi pendengaran di sebuah hotel di Singapura pada 26-27 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 9:39 PM