RAMON Marcote (depan). -FOTO Arkib
RAMON Marcote (depan). -FOTO Arkib
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC tampil lebih menyakinkan pada musim 2023 apabila mengumumkan membawa masuk Ramon Marcote dalam usaha memperkukuhkan lagi barisan kejurulatihan kelab itu.

Marcote tidak asing lagi dalam arena bola sepak tanah air kerana pernah memimpin pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kali ini beliau dilantik sebagai pembantu jurulatih kedua kepada Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe.

Perkembangan itu diumumkan menerusi laman Facebook Selangor FC yang menyatakan kemasukan Marcote dapat membantu memantapkan lagi barisan pemain skuad Gergasi Merah.

Situasi terbabit bukanlah asing buat Cheng Hoe kerana berdasarkan rekod Marcote pernah bekerjasama dengan beliau ketika di Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015.

Malah, ketika Cheng Hoe menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), beliau diberikan peranan memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning itu.

Kemudian, jurulatih berasal dari Sepanyol itu secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut selama beberapa bulan pada penghujung tahun 2017.

"Pemilik lesen kejurulatihan UEFA Pro ini adalah bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid pada tahun 2016/2017.

"Selain itu, beliau juga pernah membimbing skuad remaja kelab gergasi di Arab Saudi, Al-Hilal bawah 15 tahun sebelum ke Ethnikos Achnas di Cyprus sebagai jurulatih,"katanya.

Marcote bersama Nidzam Jamil yang dikekalkan sebagai Pembantu Ketua Jurulatih akan membantu Cheng Hoe mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Selain itu, Selangor FC turut mengumumkan kehadiran Fouzi Mukhlas sebagai jurulatih penjaga gol untuk musim ini.

"Bagi barisan kejurulatihan, Selangor FC terus mengekalkan Nidzam sebagai pembantu ketua jurulatih dan Arulchelvan Illenggo sebagai jurulatih kecergasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 2:21 PM