RAMON Marcote
RAMON Marcote
Izzali Ismail

Alor Setar: Ketangkasan serangan balas pemain import Perak bakal menjadi ancaman utama Kedah dalam misi mencari kemenangan sulung dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, esok.

Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote berkata, walaupun yakin dengan persiapan sedang diatur, benteng pertahanan Lang Merah perlu waspada ancaman jentera serangan Perak terutama pemain import mereka yang memiliki gerakan pantas ketika serangan balas.

“Kita akui Perak mempunyai kelebihan dan kekuatan serangan balas pantas yang mampu digerakkan daripada kombinasi pemain import mereka seperti Gilmar, Wander Louis, Leandro dan lain-lain.

“Saya mahu benteng kita terus diperkemaskan dan lebih bersedia menghadapi taktikal pantas dari import Perak dan pada masa yang sama perlu elak dari leka dan kesilapan yang boleh merugikan pasukan,” katanya.

Marcote juga menjangkakan satu pertembungan sengit memandangkan kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan pertama musim ini.

“Kita juga akui kekentalan benteng Perak dan kita akan cuba mengatur strategi terbaik. Selepas mengalami kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Piala Sumbangsih di Larkin Sabtu lalu, kami mahu bangkit dan pertahankan rekod kemenangan pada aksi pertama di Stadium Darul Aman.

“Jadi, kita perlu ambil apa saja kelebihan yang kita ada apabila beraksi di laman sendiri termasuk bantuan penyokong setia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 6:43 AM