PENJAGA gol Vietnam, Dang Van Lam (kanan). FOTO AFP
PENJAGA gol Vietnam, Dang Van Lam (kanan). FOTO AFP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Kejayaan Vietnam mara ke final Piala AFF 2018 bukan hanya bersandarkan kepada jentera serangan mereka semata-mata namun mereka turut memiliki kekuatan tersendiri di benteng pertahanan.

Benteng terakhir mereka, Dang Van Lam mungkin boleh dianggap sebagai wira sebenar buat skuad Naga Emas itu selepas persembahan cemerlangnya membantu pasukan itu mencatat rekod tanpa kalah sepanjang kempen edisi kali ini.

Sukar untuk menafikan kemampuan penjaga gol yang beraksi buat kelab Hai Phong itu apabila berdasarkan statistik, dia hanya dibolosi dua gol dalam enam perlawanan setakat ini, itu pun dua daripadanya pada aksi separuh akhir bertemu Filipina.

Ketika tumpuan lebih menjurus kepada jentera serangan Vietnam, Van Lam dilihat mampu menjadi pemain yang boleh mengecewakan Malaysia yang turun dengan misi untuk mengulangi kejayaan edisi 2010.

Selepas dibolosi dua gol pada separuh akhir sekali gus menyaksikan rekod bersihnya tercalar, penjaga gol yang memiliki ketinggian 1.88 meter itu berazam enggan lagi dibolosi khususnya pada aksi final minggu depan.

“Saya tidak gembira apabila dibolosi gol pada minit akhir jadi saya akan bangkit untuk menunjukkan aksi lebih baik pada perlawanan akhir.

“Apa yang penting, kami perlu melupakan aksi separuh akhir ini dan fokus bertemu Malaysia.

“Malaysia pasukan yang bagus. Kami sudah menentang mereka di peringkat kumpulan sebelum ini jadi kami menanti perancangan jurulatih bagi aksi final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 2:03 PM