RAYZAM Shah
RAYZAM Shah
Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Atlet kebangsaan Rayzam Shah Wan Sofian mengakui dia sedang mencari rentak selepas sepi tanpa saingan kompetitif sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu.

Justeru, pemenang pingat emas 100 meter lari berpagar di KL2017 itu menjelaskan sebagai permulaan musim 2018, dia akan menyertai kejohanan Pra-Sukan Asia di Indonesia dari 11 hingga 14 Februari ini.

Kejohanan itu disertai 13 negara termasuk Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand menyaksikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikan 18 atlet termasuk raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

“Minggu ini saya akan menyertai Pra-Sukan Asia di Jakarta. Ia kejohanan pertama tahun ini saya berharap dapat mencatat larian di bawah 14 saat.

“Sepanjang latihan, larian saya seperti biasa, OK saja, jadi sudah tentu saya mahu buat yang terbaik di sana,” kata Rayzam, semalam.

Untuk rekod, catatan terbaik peribadi Rayzam dalam acara kegemarannya adalah 13.67s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Gala Kurpfalz di Weinheim, Jerman pada 27 Mei 2017.

Kepantasan itu juga membolehkannya memecahkan rekod kebangsaan milik Nur Herman Majid yang berusia 23 tahun. Catatan Nur Herman sebelum ini 13.73s pada Sukan Asia Hiroshima 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:59 AM