RAYZAM ketika beraksi dalam acara 110m lompat tinggi lelaki kumpulan saringan sempena Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Stadium Carrara. FOTO/YAZIT RAZALI
RAYZAM ketika beraksi dalam acara 110m lompat tinggi lelaki kumpulan saringan sempena Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Stadium Carrara. FOTO/YAZIT RAZALI
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast


HASRAT Rayzam Shah Wan Sofian untuk mengikut jejak atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh ke pentas akhir tidak kesampaian apabila perjuangannya terkandas seawal saringan pusingan pertama acara 110m lari berpagar di Stadium Carrara, hari ini.

Dia bermula dengan baik namun gagal menempatkan diri untuk layak ke final apabila menduduki tangga keenam dengan catatan 14.03 saat (s).

Pencapaian itu gagal menyamai catatan terbaiknya iaitu 13.67s di Weinheim tahun lalu.

“Saya bermula dengan baik tetapi apabila berlanggar dengan pelari England (David King) saya hilang fokus,” kata atlet berusia 30 tahun itu.

“Saya kecewa dengan catatan masa kerana saya sasarkan 13.8s atau 13.7s.”

Bagaimanapun, Rayzam menegaskan perjuangannya belum berakhir kerana tumpuannya kini terarah ke Sukan Asia, Ogos depan.

“Saya akan ke Jerman bulan depan untuk menyertai enam atau tujuh kejohanan. Sukan Komanwel adalah kejohanan kedua, jadi tidak banyak masa untuk persediaan.

“Saya sasarkan untuk lebih cemerlang di Sukan Asia memandangkan tahap keyakinan saya sewaktu melakukan larian tadi tidak begitu baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 6:04 PM