NUR Humaira dari UM meraih emas  poomsae Individu wanita.
NUR Humaira dari UM meraih emas poomsae Individu wanita.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Turun sebagai pengganti sama sekali tidak menggugat kredibiliti atlet taekwondo dari Universiti Malaya (UM), Nur Humaira Abdul Karim untuk meraih pingat emas kategori poomsae individu wanita di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

Acara yang berlangsung di Dewan SITC kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan Nur Humaira mempamerkan aksi cemerlang sebelum meraih emas dengan kutipan sebanyak 8.52 mata.

Pingat perak dimenangi atlet Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lim Jia Wei dengan 8.54 mata manakala gangsa diraih atlet dari Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC), Tie Yu Jun, 8.06 mata.

Nur Humaira berkata, dia terkejut apabila diminta untuk menggantikan kakaknya, Nur Hidayah Abdul Karim yang mengalami kecederaan sehingga terpaksa menarik diri saat akhir.

"Sebenarnya agak terkejut, bila diminta saat akhir untuk beraksi dalam kategori ini kerana sepatutnya kakak yang diturunkan. Tapi sebab dia ada kecederaan, jadi saya yang kena ganti dia.

"Apa-apapun, alhamdulillah saya berjaya pamerkan aksi yang baik. Kakak juga banyak membantu saya sebelum acara bermula.

"Malah saya juga turut gembira kerana berjaya sumbang emas untuk Universiti Malaya pada penampilan SUKIPT pertama saya," katanya ketika ditemui selepas tamat pertandingan.

Selepas ini, Nur Humaira akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk melayakkan diri ke Sukan Sea Kemboja yang dijadual berlangsung tahun hadapan.

Sementara itu, kategori poomsae individu lelaki dimenangi Cheong Qi Yap dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan 8.29 mata.

Manakala pingat perak milik atlet Sunway University, Chin Ken Haw dengan 8.09 mata dan gangsa diraih atlet Universiti Sains Malaysia (USM), Hong Xue Ru, 7.83 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 9:54 PM