HUSNIAH (tengah) memperagakan pingat emas acara 100m dimenanginya.
HUSNIAH (tengah) memperagakan pingat emas acara 100m dimenanginya.
Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Zaidatul Husniah Zulkifli menyifatkan kejayaannya memenangi pingat emas acara pecut 100 meter (m) wanita di temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 hari ini sebagai satu permulaan memberangsangkan.

Husniah dalam masa sama menegaskan meskipun menjadi juara, namun ia tidak dicapai dengan mudah kerana atlet lain yang mengambil bahagian memberikan cabaran sengit.

Atlet mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mencatat masa 12.04s untuk meninggalkan pencabar dari Universiti Thammasat, Sureewan Runan (12.39s) untuk meraih perak sementara Nor Ashikin Md Isa (Politeknik Malaysia) memenangi gangsa dengan catatan 13.23s.

“Ia bukan mudah buat saya pada hari ini dan saya tidak boleh terlalu berpuas hati kerana ini adalah permulaan. Saya cuba yang terbaik untuk UPM.

“Saya anggap temasya ini sebagai pemanas badan sebelum menyertai kejohanan lebih besar termasuklah kejohanan di luar negara. Bagi saya ini adalah permulaan yang baik,” kata Husniah yang mempertahankan gelaran selaku juara bertahan edisi 2016 ketika ditemui di Stadium UKM, hari ini.

Bercakap mengenai Kejohanan Pra Sukan Asia di Jakarta minggu ini, dia berazam mahu memperbaiki catatan peribadi terbaik dalam acara 100m iaitu 11.45s.

Husniah mencipta catatan berkenaan di Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan pada Mac 2017.

Sementara itu, Muhammad Aqil Yasmin yang mewakili Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar kejutan apabila menewaskan pelari pilihan yang juga atlet kebangsaan, Jonathan Nyepa dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Aqil mencatat 10.53s sekali gus memecahkan rekod kejohanan iaitu 10.78s milik Harith Amar Mohd Sobri dari Universiti Malaya (UM) yang dicipta pada 2016.

“Alhamdulillah saya berjaya meraih emas pada hari ini. Bagi saya tidak ada beza antara atlet kebangsaan ataupun tidak. Malah, jurulatih pernah berpesan kepada saya, prestasi atlet sama saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 9:02 AM