NORLIYANA.
NORLIYANA.
Mohd Khairie Khalid


Bangi: Ratu heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin membuktikan dirinya sukar digugat apabila memperbaharui rekod pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) kali ini.

Norliyana yang berusia 27 tahun mengutip 4,595 mata dalam tujuh disiplin dipertandingkan sekali gus memadamkan rekod temasya iaitu 3,730 pada 2014.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mengakui dia tampil pada SUKIPT kali ini dengan misi memecahkan rekod biarpun sedikit bergelut dengan kecederaan lutut kanan sejak tahun lalu.

“Pada penyertaan kali ini, memang saya sasarkan untuk memecahkan rekod kerana rekod sebelum ini juga milik saya.

“Mungkin juga ini SUKIPT yang terakhir buat saya,” kata Norliyana ketika ditemui sejurus menamatkan saingan akhir heptatlon di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Norliyana yang memecahkan rekod kebangsaan acara heptatlon pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu dengan kutipan mata 5,247 berkata, selepas ini dia akan berada dalam proses pemulihan.

Dia menjelaskan namanya sudah berada dalam senarai atlet ke Sukan Asia Jakarta-Palembang Ogos depan, jadi dia perlu memberi tumpuan supaya dapat menampilkan aksi konsisten di sana.

Heptatlon adalah pertandingan untuk atlet wanita yang membabitkan tujuh acara iaitu 100 meter berpagar, lontar peluru, lompat tinggi, 200 meter, 800m, lompat jauh dan merejam lembing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 9:36 AM