AKSI pelumba Le Tour de Langkawi tahun lalu. -Foto fail
AKSI pelumba Le Tour de Langkawi tahun lalu. -Foto fail
Jumiati Rosly


PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang dijadualkan pada 16 hingga 25 Mac ini bakal menyaksikan sekali lagi Genting Highlands tidak disenaraikan dalam laluan perlumbaan berbasikal jelajah terulung di Asia itu, selepas kali terakhir dianjurkan pada LTdL 2014.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sudah meminta supaya Genting Highland dimasukkan semula dalam laluan perlumbaan, namun tidak mendapat persetujuan pihak Genting Highlands.

“Tak boleh lagi, disebabkan ada sedikit halangan yang dikenakan pihak Genting Highland sendiri. Mungkin kerana mereka tidak mahu laluan itu diganggu walaupun saya telah meminta (Ciclista) supaya membuat rundingan dengan Genting Highlands, tetapi mereka tidak berminat untuk membenarkan penganjur menggunakan laluan di sana.

“Sayanglah, sebab saya minta tahun ini kalau boleh laluan Genting Highlands ditambah semula, tetapi mereka sendiri tak bersetuju,” katanya selepas Majlis Pelancaran Imej dan Pengumuman Laluan LTdL 2018 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Kali terakhir perlumbaan LTdL menyenaraikan Genting Highlands sebagai laluan perlumbaan adalah empat tahun lalu. Laluan pendakian ke Genting Highlands dianggap laluan tradisi LTdL dan menjadi impian pelumba untuk menakluk puncak berkenaan, memandangkan tahap kesukaran yang mencabar kemampuan mereka.

Perlumbaan LTdL berstatus Hors Class kali ini bakal menyaksikan penambahan dua peringkat berbanding perlumbaan tahun lalu, dengan keseluruhan 10 peringkat dengan perlumbaan bakal bermula di Kangar, Perlis biarpun majlis memperkenalkan pasukan akan diadakan di Pulau Langkawi pada 14 Mac.

Khairy berkata, Langkawi juga tidak disenaraikan sebagai laluan perlumbaan pada kali ini bagi mengurangkan kos tambahan logistik yang sering berlaku jika perlumbaan berlangsung di pulau berkenaan.

“Dalam beberapa tahun dulu, Langkawi langsung tidak dimasukkan. Kita perlu hormati sejarah perlumbaan biarpun tak dapat mengadakan perlumbaan disebabkan faktor kos penganjuran.

“Sekurang-kurangnya, kita adakan majlis memperkenalkan pasukan di sana. Suatu hari nanti, apabila kita mendapat lebih penajaan, peruntukan yang lebih besar, kita boleh bermula di sana (Langkawi),” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Langkawi disenaraikan sebagai laluan perlumbaan adalah pada LTdL 2015.

Info: Laluan LTdL 2018

Jumlah jarak perlumbaan: 1,537.2km

Peringkat 1 (16 Mac) – Kangar-Kuala Ketil (117km)

Peringkat 2 (17 Mac) – Gerik-Kota Baharu (207km)

Peringkat 3 (18 Mac) – Kota Baharu-Kuala Terengganu (166km)

Peringkat 4 (19 Mac) – Dungun-Pekan (177.6km)

Peringkat 5 (20 Mac) – Raub-Cameron Highlands (140.4km)

Peringkat 6 (21 Mac) – Batu Gajah-Taiping (119km)

Peringkat 7 (22 Mac) – Tapah-Kapar (157.1km)

Peringkat 8 (23 Mac) – Putrajaya-Rembau (106.8km)

Peringkat 9 (24 Mac) – Port Dickson-Batu Pahat (218.9km)

Peringkat 10 (25 Mac) – Senawang-Kuala Lumpur (134.4km)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 8:40 PM