EMIR bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran dan Pengumuman Laluan Petronas Le Tour de Langkawi 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam. FOTO BERNAMA
EMIR bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran dan Pengumuman Laluan Petronas Le Tour de Langkawi 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perlumbaan paling berprestij negara, Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-28 pada tahun ini menjanjikan sesuatu yang berbeza berbanding saingan sebelum ini.

Selain memenuhi permintaan rakyat Malaysia yang inginkan ia kembali ke pulau legenda Langkawi, LTdL 2024 menawarkan laluan baharu di Sarawak membabitkan Miri dan Bintulu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalil berkata, tahun ini penganjur Majlis Sukan Negara (MSN) menawarkan dua pendakian berturut-turut yang berstatus Hors Class iaitu pada peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands dan peringkat keempat, Batang Kali ke Genting Highlands.

Beliau berkata, itu adalah maklum balas daripada pasukan yang menyertai perlumbaan LTdL musim lalu yang inginkan saingan lebih mencabar.

"Tahun lalu ada tiga pasukan iaitu Euskaltel–Euskadi membawa enam pelumba bukit, EF ada empat pelumba bukit dan mereka menamatkan cabaran satu dua di Genting Highlands selain pasukan Caja Rural yang turut bawa ramai pelumba pendaki bukit.

"Walaupun kita tawarkan laluan Banjaran Titiwangsa, tapi mereka kata belum cukup 'kaw' dan mereka mahukan lebih lagi. Kita dengar maklum balas itu dan tahun ini kita tampil dengan dua pendakian berturut-turut yang menjadikan cabaran utama," katanya.

Emir berkata, Genting Highlands sekali lagi akan menjadi penentu, namun ia akan lebih menarik dan mencabar sekiranya jurang masa dekat apabila peringkat seterusnya dari Miri ke Bintulu akan menjadi penentu.

"Apa yang boleh saya katakan, laluan tahun ini adalah teknikal kerana di peringkat pertama iaitu di Langkawi pun sudah menarik dan seperti 'roller coaster'.

"Biarpun Genting Highlands menjadi penentu, tapi kita lihat laluan Miri ke Bintulu amat mencabar kerana membabitkan pertarungan hampir 200km iaitu 199.3km.

"Jadi ia pasti memberi peluang kepada pelumba melakukan pemecahan. Laluan yang tak rata, beralun akan memberikan cabaran kepada pelumba," katanya.

Pada edisi kali ini, tiga pasukan berbasikal negara akan mengambil bahagian iaitu pasukan lebuh raya kebangsaan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Professional Cycling (MPC).

Pasukan dan pelumba dari Kazakhstan, Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol, Switzerland, Australia, China, Indonesia dan Jepun turut dijangka turut serta dan pengesahan penyertaan akan dibuat pada Ogos ini.

Perlumbaan berstatus ProSeries itu bakal berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober depan membabitkan lapan peringkat perlumbaan dan pelumba akan menempuh laluan sejauh 1,191.1km.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 5:36 PM