BARISAN pemain JDT meraikan kejayaan membenam Kelantan. FOTO FB Johor Southern Tigers
BARISAN pemain JDT meraikan kejayaan membenam Kelantan. FOTO FB Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol untuk mara ke suku akhir selepas membelasah Kelantan FC 10-0 dan layak dengan agregat 15-1 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, lawan JDT pada peringkat seterusnya sama ada Negeri Sembilan FC atau Kelantan United FC yang membuat perhitungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok, dengan skuad kendalian K Devan menang 1-0 ke atas skuad bimbingan Ailton Silva pada aksi 5 Ogos lalu.

Pada pertembungan aksi kedua timbal balik itu, JDT yang selesa mendahului 5-1 pada aksi pertama, 4 Ogos lalu ternyata menguasai keseluruhan permainan tatkala pengendalinya, Esteban Solari melakukan rombakan kecil dengan menurunkan empat pemain yang jarang berada di dalam kesebelasan utama termasuk penampilan pertama import baharu, Takahiro Kunimoto.

Malah seawal minit kelima JDT hampir membuka akaun jaringan selepas bola rembatan Bergson Da Silva gagal ditangkap kemas penjaga gol Kelantan FC, Johan Shahzidane Johari tapi Mohd Arip Amiruddin menjadi penyelamat selepas sempat menendang bola keluar yang hampir menerjah jaring.

Selepas mengasak bertubi-tubi akhirnya gol yang dicari menjelma buat JDT pada minit ke-21 apabila tindakan Kunimoto yang mengumpan bola ke belakang untuk Bergson merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Johan Shahzidane.

Kunimoto yang menjadi pencetus gol pertama buat JDT turut mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-24 selepas bertindak menggelecek tiga pertahanan Kelantan FC dan mudah menolak bola melepasi Johan Shahzidane untuk gol ke-100 skuad Harimau Selatsn dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketinggalan 0-2 skuad kendalian Alfredo Vera bagaikan tidak berdaya menyaingi kehebatan barisan anak didik Solari yang terus menambah derita kelab dari Pantai Timur itu selepas Kunimoto yang melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-37 bijak melakukan `voli' melepasi jangkauan Johan Shahzidane sekaligus mencetak gol kedua peribadi

Keika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan pada babak pertama, berpunca dari bola sepakan sudut Juan Muniz menyaksikan Bergson juga tidak ketinggalan mencetak gol kedua peribadi selepas menanduk bola masuk menewaskan Johan Shahzidane.

Memasuki babak kedua, Arif Aiman Hanapi hampir mencipta gol pada minit ke-49 selepas berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan Kelantan FC tapi bola rembatan leret hanya sipi di sebelah kanan gawang.

Tiada tanda-tanda untuk memperlahankan intensiti permainan sebaliknya JDT begitu rakus merobek gawang Kelantan FC pada minit ke-53 berpunca daripada bola umpanan Arif Aiman di posisi sayao kanan menyaksikan Muniz pantas merembat bola kencang untuk meletak tuan rumah selesa dengan jaringan 5-0.

JDT menjadi Kelantan FC pasukan belasahan apabila terus rakus menjaringkan gol pada minit ke-59 dan kali ini giliran pemain gantian, Daryl Sham George yang mengambil kesempatan daripada kekalutian di dalam kotak penalti untuk gol keeman JDT.

Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuat Kelantan FC `menangis' pada minit ke-61 selepas bola sepakan Endrick Dos Santos membuka ruang buat Heberty Ferandes mencetak nama selaku penjaring bagi meletak kedudukan 7-0

Disusuli pada minit ke- 64, Arif Aiman yang kurang bernasib baik menjaringkan gol, akhirnya menemui sentuhan penyudah selepas tindakan Bergson yang melorongkan bola membolehkan pemain sayap kanan JDT itu sekadar menolak bola ke gawang dengan JDT selesa mendahului 8-0.

Bergson melengkap hatrik pada perlawanan itu apabila menjaringkan gol pada minit ke-73 selepas merembat bola kencang menerjah jaring berpunca daripada bola umpanan Daryl Sham manakala gol minit akhir pemain gantian Asyar Hadi Shapri memastikan JDT menang 10-0 dan gol itu juga mengatasi Terengganu FC yang membelasah Kelantan FC 8-0 pada aksi Liga Super, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:10 PM