AKHYAR (dua dari kanan) meraikan jaringan gol bersama pasukan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AKHYAR (dua dari kanan) meraikan jaringan gol bersama pasukan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan Liga Super musim ini selepas membelasah Penang FC 7-0 pada aksi terakhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan keputusan itu, skuad kendalian Esteban Solari melakar 25 kemenangan dan hanya satu keputusan seri sepanjang 26 perlawanan liga dan menjaringkan 100 gol untuk menutup saingan liga selepas mengumpul 76 mata dan adalah pencapaian menakjubkan sambil meraikan sedekad dominasi kejuaraan ke-10.

Di awal permainan JDT hampir merungkai jaringan pada minit keempat selepas gerakan yang dimulakan Arif Aiman Hanapi membuka ruang buat Juan Muniz yang melintangkan bola tepat kepada Bergson yang menanduk tapi hanya sedikit melepasi palang gol.

Namun usaha berterusan Harimau Selatan membuahkan hasil selang seminit kemudian apabila Bergson yang berada di dalam kotak penalti bingkas menolak kepada Arif yang tidak dikawal merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

Bergson berusaha untuk mengejar pendahulu penjaring terbanyak Ayron del Valle ketika ini menjaringkan 23 gol menemui sentuhan penyudah pada minit ke-17 untuk mengumpul 20 gol apabila menanduk bola menewaskan Shafiq Afifi hasil bola sepakan lintang Matthew Davies.

Asakan berterusan tuan rumah menyebabkan Aikmal Roslan terpaksa mengasari Heberty Fernandes di dalam kotak penalti pada minit ke-33 dan pengadil perlawanan, Khairulazuan Kidam tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bergson yang mengambil sepakan penalti merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Shafiq Afifi untuk gol ke-21 buat penyerang prolifik Harimau Selatan itu ketika perlu dua gol lagi untuk menyamai del Valle.

Tuan rumah terus menambah derita skuad bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-41 apabila terus bola buak kali keempat dan ia berpunca daripada bola umpanan jauh kapten Jordi Amat menyaksikan Akhyar Rashid yang tidak dikawal ketika berada di dalam kotak penalti merembat bola kencang menewaskan Shafiq Afifi.

Shafiq Afifi terus menjadi mangsa kerakusan JDT menjaringkan gol apabila giliran Heberty yang menghukum kealpaan benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang pada minit ke-43 selepas menerima bola umpan Bergson untuk meletak anak didik Solari selepas mendahului 5-0.

JDT hanya memerlukan dua minit ketika aksi babak kedua bersambung untuk menambah jaringan apabila hantaran satu dua membabitkan Arif dan Bergson membolehkan pemain paling bernilai (MVP) dua musim berturut mencetak gol kedua peribadi selepas bijak melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Shafiq Afifi.

Arif mencipta hatrik pada perlawanan itu selepas bola rembatan leret hasil umpanan Heberty pada minit ke-50 terbias kaki Aikmal menyaksikan Shafiq Afifi gagal untuk mengelak bola menerjah jaring bagi memastikan JDT selesa mendahului 7-0.

JDT melengkapkan jaringan ke-100 dalam kancah liga selepas Arif mudah menyempurnakan sepakan penalti bagi melengkap malah gemilang pasukan itu menewaskan Penang FC 8-0.

Walaupun JDT menang besar tapi malang buat Bergson yang terlepas mahkota selaku penjaring terbanyak musim lalu kepada Aryon del Valle yang hampir pasti muncul pemenang baharu dan mungkin akan menambah jaringan apabila Selangor FC menentang PDRM FC, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 8:00 PM