MISBUN (kanan) beri tunjuka ajar kepada pemain skuad negara. -Foto SAIFULLIZAN TAMADI
MISBUN (kanan) beri tunjuka ajar kepada pemain skuad negara. -Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Helmi Talkah


KETUA jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek menegaskan penting untuk beliau mengenali hati budi anak buahnya terlebih dahulu bagi membantu mereka meningkatkan prestasi.

Justeru, beliau menyifatkan saingan Korea Masters yang bermula esok akan menjadi satu lagi medan untuk dia terus melakukan penilaian ke atas barisan pemain perseorangan lelaki.

Kejohanan yang berlangsung di Gwangju itu bakal menyaksikan tiga wakil perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil bahagian diketuai Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven dan Tan Jia Wei.

“Ini hanya kejohanan kedua saya akan duduk di belakang pemain dalam perlawanan (sejak dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki pada Julai lalu). Kali pertama adalah pada Cabaran Antarabangsa Malaysia dua minggu lalu.

“Ini peluang untuk saya mengenali mereka lebih mendalam dari semua aspek. Untuk membantu, saya perlu kenal setiap pemain terlebih dahulu dan dari situ baru saya tahu bagaimana cara terbaik bagi menolong mereka,” kata Misbun.

Iskandar akan membuka tirai saingan menentang pemain Taiwan, Lin Chia Hsuan manakala Joo Ven bertemu Milan Ludik (Republik Czech) dan Jia Wei berdepan Jong Soo Hwang (Korea Selatan).

Bagi Misbun, bukan keputuan yang terlalu difikirkan sebaliknya cara pemain untuk mengatasi tekanan dalam setiap perlawanan yang lebih penting.

“Kalau mereka bijak mengatasi tekanan, sudah pasti keputusan positif akan ada. Jadi, saya mahu mereka bermain seperti biasa dan tunjukkan kemampuan sebenar,” katanya.

Misbun turut memaklumkan saingan Korea Masters turut menjadi medan untuk beliau membuat penilaian bagi menyenaraikan pemain dalam skuad negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 9:02 PM