KETUA Jurulatih Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek di sesi latihan di Akademi badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO Eizairi Shamsudin
KETUA Jurulatih Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek di sesi latihan di Akademi badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO Eizairi Shamsudin
Helmi Talkah


KETUA jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek menegaskan penyenaraian Liew Daren dalam skuad badminton negara bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia 2018 tidak boleh dibuat hanya semata-mata untuk memenuhi kuota.

Namun, Misbun berkata sekiranya ia dibuat bagi merealisasikan hasrat untuk memenangi pingat terutama dalam acara berpasukan pada temasya yang berlangsung bermula 19 hingga 28 Ogos itu, Daren yang bergerak secara profesional wajar dibawa ke Jakarta.

"Kalau ia adalah keputusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, saya perlu akur. Jika ia ke arah bagi memastikan peluang kita meraih pingat lebih tinggi, saya perlu terima keputusan itu.

"Ia adalah percaturan yang cukup besar dan kita perlu lihat bagaimana dia (Daren) sendiri menerima hakikat ini. Adakah dia sanggup atau tidak, jika sekadar untuk memenuhi ruang dalam pasukan, lebih baik kita hantar pemain muda saja yang pasti memberi pengalaman berguna untuk mereka," kata Misbun selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Daren yang meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Nanjing China kini berada dalam radar BAM untuk disenaraikan ke Sukan Asia susulan prestasi luar biasa ditunjukkan dalam kejohanan berkenaan dan keputusan sama ada dia tersenarai atau tidak dijangka diketahui esok.

Jika Daren disenaraikan, BAM perlu menggugurkan sama ada Soong Joo Ven atau Cheam June Wei yang terlebih dahulu berada dalam senarai ke Sukan Asia bersama Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

Ditanya sama ada kehadiran Daren dapat membantu pasukan jika disenaraikan, Misbun berkata: "Kalau Daren bermain, dia akan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama diikuti Zii Jia dan Jun Hao. Jadi, tanggungjawabnya cukup besar.

"Berdasarkan rekod sebelum ini, Daren agak bergelut untuk bermain pada tahap terbaik jika menerima tekanan. Namun sekarang mungkin situasinya sudah berbeza kerana saya percaya dia semakin matang sejak bergerak secara profesional.

"Sama ada dia disenaraikan atau tidak, saya belum dapat pastikan kerana dia juga ada mengalami kecederaan ketika Kejohanan Dunia. Apa pun keputusan,saya akur dan melihatnya daripada aspek yang positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 12:53 PM