SKUAD negara meraikan kemenangan ke atas Arab Saudi.
SKUAD negara meraikan kemenangan ke atas Arab Saudi.
Syafiq Aznan


SKUAD negara perlu bijak menangani tekanan selepas mengesahkan status sebagai lapan pasukan terbaik pada Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia B-23 di Kunshan, China, malam tadi.

Jelas bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu sudah mencuri tumpuan beberapa pencabar pada kejohanan itu selepas mencipta kejutan menundukkan naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sekali gus mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan C.

“Di peringkat kumpulan, status selaku pasukan bukan pilihan apatah lagi diundi bersama pasukan Timur Tengah yang memiliki reputasi tinggi memberikan kelebihan kepada Malaysia kerana mereka dapat turun tanpa sebarang tekanan.

“Namun, selepas melayakkan diri ke suku akhir, situasi kini berbeza yang mana mereka tidak lagi dipandang sebagai pasukan bukan pilihan. Jadi pasukan harus menangani tekanan dengan baik supaya dapat mara lebih jauh dalam kejohanan ini.

“Bagaimanapun, selepas melihat tiga aksi peringkat kumpulan dan peningkatan yang berjaya ditunjukkan dalam setiap perlawanan, saya yakin Kim Swee dan anak buahnya tidak akan berdepan masalah untuk beraksi di bawah tekanan pada suku akhir nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada kejohanan di China itu, skuad B-23 tunduk 1-4 di tangan Iraq pada perlawanan pertama namun harapan kembali dinyalakan apabila mereka mengikat Jordan 1-1 pada aksi kedua.

Ketika mereka memerlukan kemenangan untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir pada penyertaan sulung dalam kejohanan itu, pemain tengah FELDA United, Daniel Amier Norhisham muncul wira apabila meledak gol kemenangan buat skuad negara sekali gus mengecewakan anak buah Daniel Teglia yang turut memburu kemenangan pada aksi terakhir peringkat kumpulan itu.

Malaysia akan menentang juara Kumpulan D pada suku akhir Sabtu ini. Korea Selatan, Vietnam, Australia dan Syria akan berentap hari ini bagi memburu dua tempat terakhir ke peringkat itu.

Pada masa sama, Wan Jamak mempertahankan pendekatan taktikal Kim Swee untuk memastikan kemenangan 1-0 menjadi milik skuad negara meskipun timbul kritikan mengenai corak permainan bertahan yang ditampilkan bertemu Arab Saudi.

“Kim Swee menggunakan pendekatan bijak dengan kemampuan pemain apabila bertemu pasukan yang lebih baik namun jika dilihat, Malaysia juga tidak bertahan sepenuhnya kerana ada kalanya barisan serangan skuad negara dapat mengasak kubu pertahanan lawan dengan serangan balas pantas.

“Apa yang lebih penting, taktikal itu berjaya menepati matlamat dan keputusan diinginkan apabila skuad negara meraih kemenangan sekali gus mara ke suku akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 1:12 PM