AMINUDDIN Hussin (tengah) ketika bersama bekas jurulatih kebangsaan Frank Bernhardt. Foto fail
AMINUDDIN Hussin (tengah) ketika bersama bekas jurulatih kebangsaan Frank Bernhardt. Foto fail
Syafiq Aznan


BEKAS pembantu jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Aminuddin Hussin terkejut dengan persembahan yang ditampilkan oleh bekas anak didiknya apabila mara ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, malam tadi.

Begitupun, bekas pembantu kepada Frank Bernhardt itu turut gembira apabila skuad Projek Sukan SEA 2017 itu dapat membuktikan kemampuan yang dimiliki mereka meskipun tidak diletakkan harapan pada penampilan sulung di kejohanan terbabit.

“Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan saya tetapi turut memberikan kejutan kepada seluruh negara. Tiada siapa yang menyangka kita dapat menundukkan Arab Saudi yang sememangnya memiliki reputasi yang hebat di benua ini.

“Saya akui banyak peningkatan yang ditunjukkan mereka pada kejohanan ini khususnya daripada aspek teknikal dan juga taktikal sehingga mereka berjaya menjelmakan keputusan yang positif.

“Secara keseluruhannya, semua pemain beraksi dengan baik dan beberapa pemain menunjukkan peningkatan yang begitu memberangsangkan berbanding sebelum ini. Semoga dapat mara lebih jauh dan saya turut gembira dengan kejayaan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, skuad negara membuat kejutan terbesar pada kejohanan yang menampilkan pasukan terbaik benua Asia itu apabila menewaskan naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 di Stadium Kunshan, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah mara ke suku akhir pada penyertaan sulung dalam kejohanan itu selepas muncul naib juara Kumpulan C untuk mengiringi Iraq yang menewaskan Jordan 1-0 dalam satu lagi aksi di Stadium Changshu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 7:29 PM