IRAQ tewaskan skuad negara 4-1
IRAQ tewaskan skuad negara 4-1
Daripada Aziman Rosdi di Changshu dan China


JURULATIH Iraq, Abdul Ghani Shahad mengakui kemenangan selesa 4-1 ke atas Malaysia dalam aksi Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Stadium Changshu, China hari ini tidak menggambarkan situasi sebenar di tengah padang.

Beliau terkejut dengan saingan yang diterima dan jaringan besar itu banyak dibantu oleh kesilapan pemain negara sendiri.

“Ini perlawanan pertama dan ia bukan mudah kerana Malaysia pasukan yang bagus. Mungkin keputusan tidak seperti ini jika bukan kerana kesilapan pemain Malaysia.

“Apa pun secara keseluruhan, kami berjaya dalam perlawanan ini dan misi mendapat tiga mata berjaya. Malah tiada pemain yang mendapat kad dan cedera,” katanya pada sidang media selepas perlawanan hari ini.

Kemenangan yang diraih Iraq seperti menepati status mereka selaku juara edisi pertama 2013 dan pemenang tempat ketiga dua tahun lalu.

Ghani berkata, mereka perlu memperbaiki prestasi khususnya di benteng pertahanan sebelum aksi kedua menentang Arab Saudi, Sabtu ini.

“Kami tidak beraksi dengan baik pada separuh masa kedua tapi setiap perlawanan pasti berbeza. Kami akan melakukan perubahan bagi perlawanan kedua,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 8:17 PM