BRENDAN Gan (kanan) kembali menjalani latihan bersama Perak selepas pulih daripada kecederaan ACL. Foto file
BRENDAN Gan (kanan) kembali menjalani latihan bersama Perak selepas pulih daripada kecederaan ACL. Foto file
Naqib Nor Said


TONGGAK tengah Perak, Brendan Gan mengakui masih terlalu awal memikirkan semula peluangnya untuk mengetuk pintu skuad kebangsaan selepas pulih daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Kali terakhir pemain berusia 30 tahun itu beraksi bersama skuad Harimau Malaya ketika tumpas 3-0 kepada Indonesia dalam satu aksi persahabatan pada 6 September 2016 yang turut menjadi hari malang buatnya apabila ditimpa kecederaan berkenaan.

Ia kali kedua pemain kelahiran Australia itu mengalami kecederaan ACL selepas kali pertama menimpanya ketika membantu Kelantan membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 pada Februari 2015.

“Buat masa ini, Perak lebih menjadi fokus utama dan sebolehnya saya mahu mendapat sebanyak mungkin minit aksi di atas padang.

“Saya di sini hanya untuk memberikan persembahan terbaik dan cuba memenangi sebanyak mungkin piala untuk pasukan baharu.

“Tetapi jika pada akhirnya mereka merasakan saya cukup bagus bagus untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan, sudah tentu saya akan menyahut panggilan negara. Namun, buat masa ini fokus saya hanya untuk Perak,” katanya.

Selepas berehat 16 bulan, Brendan yang berpindah ke Perak dari Kelantan, diturunkan daripada bangku simpanan dalam dua aksi pramusim The Bos Gaurus ketika menumpaskan Felcra FC 5-1 dan MOF FC (4-1), semalam.

Begitupun, pemain yang sudah membuat lapan penampilan untuk Harimau Malaya itu kelihatan masih berhati-hati dan tercari-cari rentak sebenarnya yang terkenal dengan corak permainan agresif.

“Ini hanya aksi kedua saya dalam tempoh setahun lebih, untuk mendapat 24 minit aksi (menentang MOF FC) adalah baik.”

Ditanya mengapa pergerakannya kelihatan terbatas, Brendan menegaskan dia tidak mahu memaksa diri.

“Ia hanya aksi persahabatan, apa yang penting saya perlu kembali tingkatkan kecergasan, malah jurulatih (Mehmet Durakovic) juga mengarahkan supaya jangan terlalu memaksa diri dan melakukan bentesan keras.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 6:37 PM