SYAFIK (tengah) sudah kembali beraksi. FOTO GHAZALI KORI
SYAFIK (tengah) sudah kembali beraksi. FOTO GHAZALI KORI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain sayap muda Terengganu FC, Muhammad Syafik Ismail mengakui tidak mudah untuk melawan perasaan trauma apabila beraksi di atas padang musim ini selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya musim lalu.

Pemain yang berusia 24 tahun ini disahkan mengalami kecederaan ACL tahap tiga pada Mei musim lalu, dalam perlawanan Piala FA menentang Kelantan FC.

Jelasnya, tidak mudah untuk dirinya mengharungi episod hitam itu lebih-lebih lagi dia terpaksa melupakan kesemua aksi Liga Malaysia (Liga M) musim lalu dan memerlukan lapan bulan untuk melalui proses pemulihan dari kecederaan.

Syafik yang tersenarai sebagai pemain gantian dalam tiga aksi awal Liga Super musim ini, teruja dapat kembali beraksi bersama pasukan sambil mendapatkan semula keyakinannya di atas di padang.

Tambah Syafik lagi, setiap kali Ketua Jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner, memberi peluang kepadanya untuk beraksi musim ini, dia harus berdepan dengan trauma tersebut dan berani untuk bermain bola sepak seperti biasa.

"Secara jujurnya, trauma tersebut saya rasai sehingga kini namun saya harus berdepan dan kembali bermain untuk karier saya," katanya.

Anak jati kelahiran Marang ini turut berkongsi, tempoh pemulihan selama lapan bulan yang dia perlukan untuk sembuh dari kecederaan ini adalah satu momen yang sangat mencabar bagi dirinya.

Syafik juga menambah, selain bergelut dengan kecederaan yang menimpanya pada ketika itu, dia juga bertarung dengan kerisauan perjalanan karier bola sepaknya kerana kecederaan ACL ini memerlukan masa untuk pulih.

"Sepanjang lapan bulan itu, pelbagai rawatan yang saya terima termasuk pembedahan dan fisioterapi.

"Namun, saya berjaya bangkit dengan sokongan ibu, isteri, keluarga mentua dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan kepada saya untuk melalui hari sukar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 2:50 PM