GODIN (tengah) patah gigi ketika berlaga dengan  Neto.  FOTO/AFP
GODIN (tengah) patah gigi ketika berlaga dengan Neto. FOTO/AFP
Reuters

BARCELONA: Pertahanan Atletico Madrid Diego Godin patah beberapa batang gigi ketika berlaga dengan penjaga gol Valencia Neto sewaktu pasukannya menang 1-0 dalam aksi La Liga awal pagi tadi dan pengurusnya Diego Simeone berang apabila pasukannya langsung tidak diberikan sepakan penalti.

Bek tengah Uruguay itu terpaksa digantikan selepas penjaga gol itu tidak sengaja menyikunya ketika cuba menyelamatkan sepakan percuma pada awal separuh masa kedua.

Neto gagal mendapatkan bola dan sebaliknya terkena Godin yang dibawa keluar pada minit ke-51 dengan mulutnya berdarah.

“Mereka mungkin perlu membunuh seseorang supaya kami mendapatkan penalti, kerana insiden ke atas Godin tidak dianggap penalti,” kata Simeone.

Pertahanan Atletico Stefan Savic juga perlu digantikan selepas mengalami kecederaan hamstring.

SIMEONE berang dengan pengadil yang tidak memberikan pasukan penalti. FOTO/AFP
SIMEONE berang dengan pengadil yang tidak memberikan pasukan penalti. FOTO/AFP

“Doktor akan memberikan laporan lebih terperinci,” kata Simeone mengenai kedua-dua pemain itu.

“Bukan mudah untuk bermain apabila anda terpaksa mengganti dua pemain tetapi mereka yang digantikan bermain dengan amat baik.”

Jose Gimenez dan Juanfran menggantikan tempat kedua-dua Savic dan Godin di bahagian pertahanan ketika Atletico berjaya mengekang Valencia untuk mencatat kemenangan hasil rembatan cantik Angel Correa pada minit ke-59.

Keputusan itu melonjakkan skuad Simeone sembilan mata menghampiri pendahulu Barcelona namun jurulatih itu percaya perjalanan mereka masih jauh untuk mencabar kejuaraan.

“Kami mahu bangkit sebagai satu pasukan. Saya meninggalkan perlawanan ini sambil memikirkan mengenai kerja keras dan komitmen yang ditunjukkan pemain, ia memberikan kepuasan kepada saya sebagai pengadil,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 8:21 AM