PEMAIN Atletico Madrid, Filipe Luis (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Real Sociedad. FOTO AFP
PEMAIN Atletico Madrid, Filipe Luis (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Real Sociedad. FOTO AFP
AFP

MADRID: Pemain pertahanan, Diego Godin dan Filipe Luis menjaringkan gol untuk membantu Atletico Madrid bangkit daripada kekecewaan pertengahan minggu dibelasah Borussia Dortmund apabila menang 2-0 ke atas Real Sociedad sekali gus melonjak ke tangga teratas La Liga.

Susulan aksi buruk dua pasukan, Barcelona dan Real Madrid menyaksikan pasukan bimbingan Diego Simone melonjak ke tangga teratas selepas tujuh perlawanan liga tanpa kekalahan.

Rabu lalu mereka kalah 0-4 di Signal Iduna Park, kekalahan paling besar sepanjang tujuh tahun di bawah kendalian Simeone namun Atletico berjaya memberikan persembahan terpuji di Wanda Metropolitano, sebelum bermulanya aksi sulung El Clasico musim ini.

“Saya yakin mereka akan bangkit dengan cemerlang. Hari ini sepanjang tempoh 90 minit mereka menunjukkan semangat sepasukan dan mencipta peluang dengan tenang,” kata Simeone.

Juara 2014 itu mengatasi Barcelona dengan perbezaan satu mata, diikuti Real di tempat ketiga sebelum kedua-dua pasukan gergasi itu bertemu sesama sendiri di Nou Camp malam ini.

Selepas 44 minit yang mengecewakan, termasuk dua kali Ruben Pardo hampir meletakkan pelawat di depan, Godin menjaringkan gol sebelum rehat dan ia gol liga pertamanya sejak Mac 2017.

Atletico menguasai permainan sebaik aksi bersambung dan pertahanan kiri, Luis mengesahkan kemenangan selepas sejam dengan melepaskan rembatan lencong kaki kanan.

Dalam perlawanan lain menyaksikan Valencia seri buat kali ke-10 musim ini dan kelima berturut-turut selepas berkongsi mata dengan Athletic Bibao dalam perlawanan yang berkesudahan tanpa sebarang jaringan.

Pasukan bimbingan Marcelino, yang menamatkan saingan di tempat keempat musim lalu untuk layak ke Liga Juara-Juara, kini hanya dibezakan dengan tiga mata di atas zon penyingkiran walaupun setakat ini baru kalah sekali dalam 10 perlawanan.

Penyerang Sepanyol, Iago Aspas meledak hatrik ketika Celta Vigo membelasah Eibar 4-0 untuk berada di pertengahan liga, manakala Levante melakar kemenangan keempat liga selepas menumpaskan Leganes 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 8:44 AM