BRUNO (kanan) beraksi di barisan pertahanan. FOTO/IHSAN FACEBOOK Johor Southern Tigers
BRUNO (kanan) beraksi di barisan pertahanan. FOTO/IHSAN FACEBOOK Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran pemain pertahanan baharu dari Brazil, Bruno Gabriel Soares bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Menerusi akaun facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST) malam tadi, kelab berkenaan berkata tonggak pertahanan tinggi lampai itu diletakkan dalam situasi ‘standby’ menggantikan Marcos Antonio sekiranya tidak sempat cergas sepenuhnya daripada kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada lutut kiri sejak Julai lalu.

Dalam kenyataan di ruangan komen itu, bekas pemain kelab, Hapoel Tel Aviv itu berkemungkinan besar akan bermain untuk JDT II dan hanya beraksi untuk skuad utama Harimau Selatan jika diperlukan.

“Bruno adalah pemain pertahanan luar negara kami yang berasal dari Brazil. Kami meletakkan beliau sebagai pemain `standby’ untuk Marcos Antonio jika belum cergas sepenuhnya.

“Buat masa ini berkemungkinan besar beliau akan bermain untuk JDT II dan akan bermain untuk skuad utama jika diperlukan,” kata kenyataan berkenaan.

Sebelum ini, juara empat kali berturut-turut Liga Super itu mengumumkan kepulangan dua bekas pemain import mereka dari Argentina iaitu Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa.

Selain itu, pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun yang kembali memperkuatkan pasukan selepas dipinjamkan selama semusim ke kelab Liga Singapura, Home United.

Malah, mereka turut melengkapkan pemain import keempat dengan mendapatkan khidmat pemain berdarah kacukan Malaysia-Barbados, La’Vere Corbin-Ong yang mampu beraksi di posisi pertahanan kiri dan kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 12:28 PM