KAPTEN JDT II,  Mohd Shakir Shaari (kiri) dan kapten UKM FC, Hasnan Ahmad  bergambar bersama Piala Cabaran pada  sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.  - FOTO Supian Ahmad
KAPTEN JDT II, Mohd Shakir Shaari (kiri) dan kapten UKM FC, Hasnan Ahmad bergambar bersama Piala Cabaran pada sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - FOTO Supian Ahmad
Firdaus Hashim


KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ervin Boban dijangka menurunkan Muhammad Fadhli Shas bagi menggantikan pertahanan import, Bruno Gabriel Soares yang terpaksa digugurkan selepas ditimpa kecederaan harmstring menjelang final kedua Piala Cabaran menentang UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Jelas Boban, ketiadaan import kelahiran Brazil itu sedikit memberi kesan kepada benteng pasukan bimbingannya.

Bagaimanapun, beliau kekal optimis kehadiran Fadhli yang berpengalaman luas, tepat pada waktunya bagi membantu rakan sepasukan selain khidmat penyerang, Ahmad Hazwan Bakri turut ditagih untuk memperkasakan bahagian serangan.

“Bruno (Soares) memang tidak akan beraksi pada malam esok dan saya perlu melakukan sedikit perubahan pemain untuk memastikan pasukan tidak terjejas dengan ketiadaannya.

“Dengan kecederaan dialaminya serta kecederaan kecil pemain lain, bantuan daripada JDT untuk menggunakan dua pemain iaitu Fadhli dan Hazwan memang cukup bermakna.

“Saya memang berharap mereka dapat memperkuatkan pasukan baik daripada aspek serangan dan pertahanan memandangkan dua pemain ini juga cukup berpengalaman untuk menjelmakan kemenangan kepada pasukan," katanya pada sidang media praperlawanan akhir Piala Cabaran di sini, hari ini.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 1 Mac lalu memutuskan tiada lagi had umur bagi pemain-pemain tempatan untuk berpindah dari skuad utama ke skuad simpanan atau 'feeder club'.

Menerusi peraturan itu, Fadhli dan Hazwan dibenarkan beraksi bersama JDT II dalam aksi final kedua Piala Cabaran.

Dalam perkembangan sama, Boban menggesa anak buahnya sedar akan kekuatan UKM FC yang jelas bukan mudah untuk membiarkan tembok mereka ditembusi.

Sementara itu, UKM FC tidak rela lagi dikecewakan buat kali kedua berturut-turut apabila sedia menebus kekalahan di pentas final Piala Cabaran musim lalu dengan menjadikan final edisi kali ini sebagai pengubat kedukaan.

Penolong jurulatih UKM FC, Juzaili Samion berkata, beliau sememangnya gembira dengan pencapaian menakjubkan kelab itu kerana mampu melakar sesuatu yang sukar dibuat pasukan lain tetapi pada masa sama berharap badi di pentas final mampu dihapuskan.

“Ini sememangnya final kali ketiga berturut-turut buat kami dan bagi saya, daripada segi sejarah, kami sudah melakukan rekod dan satu pencapaian tertinggi buat kelab seperti UKM FC.

“Cuma sememangnya lebih manis jika kami mampu membawa pulang trofi ini pada hari esok dan dalam bola sepak, segala kemungkinan masih boleh berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:02 PM