Syafiq Aznan


PELUANG untuk Selangor kembali menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan, masih belum tertutup lagi.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari (gambar) ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, masih ada ruang untuk perbincangan antara kerajaan negeri dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung penggunaan stadium keramat itu sebagai gelanggang skuad The Red Giants.

“Tiada ketetapan lagi mengenai sama ada Selangor boleh menggunakan Stadium Shah Alam kerana perkara itu perlu dibincangkan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terlebih dulu.

“Jadi, kita akan bincangkan dulu dan lihat apa perkembangannya selepas ini. Kalau diikutkan daripada pandangan saya, masih ada harapan untuk Selangor beraksi di stadium itu. Lagipun saingan liga tidak akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini.

“Apapun, keputusan buat masa ini tetap sama seperti dinyatakan sebelum ini di mana dasar kerajaan negeri dan prinsip kita adalah memberi kepada pihak yang mudah bekerjasama dengan kita,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada FAS atas kejayaan mendapatkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi Selangor.

Juara Piala Malaysia 33 kali sekali lagi terpaksa ‘menumpang’ di gelanggang lain selepas berdepan kesukaran mendapatkan kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam susulan perselisihan antara badan induk bola sepak negeri itu dengan kerajaan negeri sejak musim lalu.

Bagaimanapun, mereka boleh menarik nafas lega selepas skuad Merah Kuning itu sudah memiliki gelanggang rasmi apabila dibenarkan untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil buat musim hadapan.

Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, mereka sudah diberi lampu hijau oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan sedang menunggu kelulusan daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

“Selain memohon menggunakan Stadium Shah Alam, kami juga memohon menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah dan saya gembira untuk mengumumkan ia sudah pun mendapat kelulusan hari ini,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 1:12 PM