S Kumar (tengah) mahu fokus dengan kesihatan anak ketiganya.
S Kumar (tengah) mahu fokus dengan kesihatan anak ketiganya.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


PENJAGA gol skuad hoki negara, S Kumar berharap semua pihak memberi ruang kepadanya untuk mendapatkan ketenangan selepas terpalit dengan kontroversi gagal ujian doping ketika Kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Menurut penjaga gol berusia 38 tahun itu, selain perlu memikirkan isu itu, dia juga sedang berdepan situasi sukar ketika ini selepas anak ketiga, Siddtaa Pavanaj yang berusia sembilan bulan sudah seminggu ditahan di hospital kerana jangkitan pada paru-paru.

“Dia (Pavanaj) asyik menangis dan badannya tidak begitu sihat.

“Bila saya baca berita membabitkan diri saya, ia bertambah sukar. Orang luar mungkin tak faham situasi yang saya hadapi ketika ini.

“Apapun, anak saya ketika ini berada dalam keadaan yang baik,” katanya yang pernah melalui detik sedih kehilangan anak keduanya, Harshenn, 3, dua tahun lalu ketika berada di Antwerp, Belgium untuk menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Dia kemudian pulang ke Malaysia untuk menyempurnakan upacara pengebumian anaknya itu.

Justeru, penjaga gol yang sudah melakukan 295 penampilan bersama skuad negara itu tidak mahu peristiwa sedih itu berulang lagi.

“Saya tak nak berlaku apa-apa kepada anak saya. Sebab itu sekarang saya banyak luangkan masa dengannya,” katanya.

Kumar juga pernah mengalami pengalaman pahit pada 2010 selepas bapanya meninggal dunia ketika beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi.

Pemain berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu ketika ini digantung sementara kerana positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Dia tidak mahu melakukan ujian sampel B, sebaliknya bersedia membela diri pada sesi pendengaran yang dijadual berlangsung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 9:32 PM